X
Isnin, 8 Jun 2015 | 3:08pm

54 gegaran susulan direkodkan

KUNDASANG: Sebanyak 54 gegaran susulan direkodkan Jabatan Meteorologi selepas gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berpusat di Ranau, Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Abd Malik Tussin berkata, semua gegaran susulan itu berukuran antara 1.6 hingga 4.5 skala Richter.

Katanya gegaran berukuran 4.5 direkodkan pada 7.06 malam pada Jumaat.

20 gegaran susulan direkodkan semalam. - Foto Jabatan Meteorologi
20 gegaran susulan direkodkan semalam. - Foto Jabatan Meteorologi

"Sebenarnya ini keadaan biasa bila berlaku gempa yang sederhana kuat, pasti ada gempa susulan. Cuma kami tidak dapat pastikan berapa lama gempa susulan ini akan berterusan, mungkin boleh jadi sehari atau seminggu dan mungkin berbulan-bulan.

"Kalau mengikut data yang saya peroleh, pada hari pertama iaitu Jumaat ada 30 gegaran susulan, pada hari Sabtu pula 13 gegaran susulan dan semalam 11 gegaran.

"Memang sebenarnya kita tidak menjangka begini banyak susulan, kami juga tengah cuba mencari punca berlakunya gempa bumi ini.

"Berdasarkan kepada sejarah gempa bumi di seluruh dunia, berkemungkinan berlaku gempa lebih besar daripada gegaran utama namun kebarangkalian terjadi agak kecil, antara 5 hingga 10 peratus saja," katanya.

BERNAMA

Berita Harian X