Selasa, 30 Jun 2015 | 9:58pm

Rakyat Malaysia perlu sedia hadapi cuaca panas, jerebu

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu bersedia menghadapi cuaca lebih panas berikutan monsun barat daya yang sedang melanda negara, ketika ini.

Ketua Pengarah, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Datuk Che Gayah Ismail, berkata musim monsun itu membawa cuaca panas serta kering dan musim kemarau diramalkan berlanjutan hingga September.

"Hanya ada sedikit hujan, terutama pada awal pagi di kawasan pantai dan kawasan di selatan Selangor," katanya sambil menjelaskan keadaan cuaca mungkin bertambah buruk serta mengakibatkan jerebu jika berlaku pembakaran terbuka secara berleluasa.

Che Gayah menambah keadaan berjerebu beberapa hari ini mungkin kerana tiada hujan sejak beberapa hari lalu.

Beliau berkata, ia bukan berpunca daripada aktiviti gunung berapi di Gunung Sinabung di Sumatra Utara, walaupun abu gunung berapi menuju ke arah tengah Semenanjung Malaysia dengan ketinggiannya ketika melalui Semenanjung adalah lebih 6,000 kaki (lebih 1,800 meter)..

Berdasarkan imej terbaharu satelit Pusat Meteorologi Khas ASEAN (AMSC), tiada tompok panas dikesan di Semenanjung, tetapi terdapat masing-masing dua di Sabah dan Sarawak.

Semakan dengan Jabatan Alam Sekitar mendapati bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di semua 52 kawasan di seluruh negara hari ini menunjukkan kualiti udara berada pada paras baik dan sederhana.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Ashok Philip, berkata musim panas sekarang boleh mengakibatkan penyahhidratan jika manusia banyak berpeluh dan tidak minum cukup air.

"Apabila kadar penyahhidratan meningkat, seseorang yang terjejas akan mula berasa lemah, pening dan tidak menentu atau keliru kerana tekanan darah mula menurun dan suhu tubuh pula meningkat.

"Untuk sentiasa berada dalam keadaan sejuk dan bagi mengelak daripada masalah berkaitan haba, minumlah banyak air," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X