X
Sabtu, 11 Julai 2015 | 7:12pm

Lagu raya 'evergreen' tetap pilihan utama pendengar

KUALA LUMPUR: Dendang Perantau, Balik Kampung, Indahnya Beraya di Desa, Selamat Hari Raya, Suatu Hari Di Hari Raya, adalah lagu-lagu raya 'evergreen' yang tetap menyentuh perasaan ketika didendangkan menjelang Aidilfitri.

Barangkali mood beraya kurang terasa andainya kita tidak mendengar lagu-lagu ini.

'Di hari Raya, terkenang daku pada si dia,

Kampung ku indah nun jauh di sana. Ayah serta bondaku...

Lirik alunan Tan Sri P Ramlee dalam "Dendang Perantau" ini tetap menusuk kalbu walaupun sudah berusia puluhan tahun.

Walaupun saban tahun banyak lagu-lagu raya baharu digubah, namun tidak banyak yang mampu menyaingi lagu-lagu raya lama ini yang tetap menjadi pilihan tua dan muda.

Penyanyi tanah air 70-an, Hail Amir yang popular dengan lagu Seloka Hari Raya, menyifatkan kehebatan lagu 'evergreen' atau malar segar ini dek kerana susunan alunan muzik yang rancak dan lirik lagu yang menzahirkan suasana harmoni ketika menyambut hari raya.

'Seloka Hari Raya' beliau dendangkan bersama Uji Rashid.

"Lagu-lagu raya dulu mempunyai unsur tradisional dan lirik yang indah serta tidak berat untuk difahami," kata Hail.

"Kita tidak boleh mengetepikan nilai tradisional ini kerana ia adalah penyedap bagi memikat jiwa pendengar," katanya.

Nurul Faiqah Abd Rahman, 23, berkata lagu raya moden dianggap 'pelik' dan tiada nilai tradisional untuk menggambarkan suasana hari raya.

"Saya minati lagu-lagu raya dendangan Datuk Sudirman Hj Arshad dan Tan Sri P Ramlee dan bagi saya lagu raya moden tidak menyemarakkan semangat untuk menyambut raya.

"Kekuatan lagu-lagu raya lama ini terletak pada keindahan lirik yang menggambarkan kemeriahan suasana hari raya," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X