Isnin, 13 Julai 2015 | 4:54pm

Ban Ki-moon ucap terima kasih kepada Najib kejayaan mesyuarat PBB-SAB

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon. - Foto Reuters
SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon. - Foto Reuters

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas peranan beliau dalam menjamin kejayaan mesyuarat Lembaga Penasihat Saintifik (SAB) yang diadakan di sini pada Mei tahun ini.

Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dalam kenyataan hari ini berkata mesyuarat itu dipengerusikan bersama ketua pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Irina Bokova dan anggota Lembaga Penasihat Saintifik PBB (PBB-SAB), Prof Tan Sri Zakri Abdul Hamid.

Katanya, Ban juga menyampaikan penghargaan khusus beliau terhadap syor penting yang dikemukakan lembaga 26 anggota PBB-SAB dari pelbagai negara dan disiplin itu, tentang antara muka dasar sains serta peranan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam konteks penghuraian agenda pembangunan pasca 2015.

Anggota PBB-SAB juga menyampaikan kepada Ban maklumat terkini tentang tugas lembaga itu dan memberi pujian kepada beliau kerana tidak sahaja menjadikan sains sebagai "pemerhati, tetapi juga sebagai penasihat" dalam proses pembangunan pasca 2015.

Menurut kenyataan itu, Ban mengundang PBB-SAB supaya terus memberi nasihat kepada beliau melalui input saintifik dalam fasa peralihan kritikal daripada Matlamat Pembangunan Milinium (MDGs) kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs), yang amat memerlukan dialog secara berterusan diadakan antara saintis dan penggubal dasar.

Bokova dan Zakri menegaskan sekali lagi bahawa pengintegrasian STI dalam pelaksanaan SDGs di peringkat negara adalah sangat penting bagi menjamin kejayaan agenda pembangunan lestari pada masa akan datang.

Kata mereka, dalam hubungan itu, kerjasama antara pihak berkepentingan, pembentukan persekitaran dasar pemboleh dan peningkatan keupayaan saintifik nasional, termasuk melalui pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik, merupakan faktor yang amat penting.

"Semua negara perlu memberi komitmen terhadap kepentingan dan kecukupan pelaburan dalam STI dan R&D untuk memanfaatkan potensi penuh STI dalam usaha menyediakan penyelesaian konkrit bagi menghadapi cabaran pembangunan pasca 2015," kata Zakri.

- BERNAMA

Berita Harian X