X
Isnin, 27 Julai 2015 | 6:18pm

Rang undang-undang baharu lindungi kanak-kanak bakal dibentang

ROHANI beramah mesra bersama adik Nur Firuza Amira Fairuz Nizam (kanan) dan Nur Firuza Aqilah Fairuz Nizam (kiri) sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Nexus Bangsar South, Kuala Lumpur. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
ROHANI beramah mesra bersama adik Nur Firuza Amira Fairuz Nizam (kanan) dan Nur Firuza Aqilah Fairuz Nizam (kiri) sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Nexus Bangsar South, Kuala Lumpur. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Rang undang-undang baharu berkaitan perlindungan kanak-kanak dengan skop perundangan yang lebih komprehensif dijangka dibentangkan di persidangan Dewan Rakyat, Oktober ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata ,rang undang-undang itu yang kini dalam kajian Pejabat Peguam Negara turut meliputi peruntukan mengenai pornografi kanak-kanak, aktiviti buli siber, penderaan dan juga mengemis.

Rohani berkata satu akta baharu bagi perlindungan kanak-kanak diperlukan bagi memastikan ia sesuai dengan persekitaran dan perubahan semasa khasnya yang membabitkan eksploitasi kanak-kanak dalam jenayah siber.

"Saya berharap ia dapat dibentangkan Oktober ini. Rang undang-undang ini antaranya akan meliputi peruntukan berkenaan penderaan, pengabaian, perlindungan dan pembelaan untuk kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata rang undang-undang itu apabila diluluskan, akan menggantikan Akta Kanak-kanak 2001 yang pada masa ini dilihat mempunyai banyak kekurangan dan tidak mampu menawarkan pembelaan yang sewajarnya kepada mangsa.

Katanya rang undang-undang itu tidak akan dikenali sebagai akta pindaan kerana perubahan yang dicadangkan sudah melebihi 70 peratus dan pejabat Peguam Negara menasihatkan agar ia terus dikenali sebagai satu akta yang baharu.

"Kita berada pada landasan yang betul (mewujudkan satu undang-undang baharu) dan kami akan terus mengadakan sesi dialog dengan kumpulan berkepentingan termasuklah mendapatkan pandangan media massa untuk memastikan pandangan mereka turut diambil kira," katanya.

Rohani berkata ini bagi memastikan proses penambahbaikan itu akan terus berjalan bagi memastikan perlindungan kanak-kanak terus menjadi keutamaan. -BERNAMA

Berita Harian X