Ahad, 2 Ogos 2015 | 5:27pm

Muhyiddin menghadap Sultan Johor selama sejam

[email protected]

TIMBALAN Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman melambai tangan ke arah petugas media ketika meninggalkan Istana Bukit Serene selepas menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. - Foto Zain Ahmed
TIMBALAN Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman melambai tangan ke arah petugas media ketika meninggalkan Istana Bukit Serene selepas menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. - Foto Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman beredar dari Istana Bukit Serene, sebentar tadi selepas menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Kenderaan istana yang membawa Ahli Parlimen Pagoh dan isteri itu dilihat keluar dari Istana Bukit Serene, menggunakan Gerbang Mahkota kira-kira jam 4.35 petang tadi.

Pertemuan yang turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu berlangsung kira-kira sejam selepas Muhyiddin difahamkan masuk ke Istana Bukit Serene kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Muhyiddin dan isteri sempat melambai tangan ke arah petugas media yang menunggu di perkarangan Gerbang Mahkota sejak jam 2.30 petang tadi.

Turut kelihatan beredar keluar dari Istana Bukit Serene ialah kenderaan yang membawa Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Terdahulu, Muhyiddin hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kluang, pagi tadi.

Beliau juga dikatakan akan mengadakan pertemuan dengan NGO Melayu di Johor Bahru petang ini.

Berita Harian X