Jumaat, 14 Ogos 2015 | 10:29pm

Najib meriahkan rumah terbuka Aidilfitri PTD

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor memberi sumbangan kepada kanak-kanak di majlis rumah terbuka Semarak Aidilfitri anjuran Persatuan Perkhidmatan Pegawai Tadbir Diplomatik (PPTD) di Menara Seri Wilayah, Kementerian Wilayah Persekutuan, Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor memberi sumbangan kepada kanak-kanak di majlis rumah terbuka Semarak Aidilfitri anjuran Persatuan Perkhidmatan Pegawai Tadbir Diplomatik (PPTD) di Menara Seri Wilayah, Kementerian Wilayah Persekutuan, Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak malam ini menghadiri majlis rumah terbuka Semarak Aidilfitri anjuran Persatuan Perkhidmatan Pegawai Tadbir Diplomatik (PPTD) di Menara Seri Wilayah, Kementerian Wilayah Persekutuan di sini.

Ketibaan beliau bersama dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor disambut oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Presiden PPTD, Datuk Seri Zainal Rahim Seman.

Turut hadir, ketua-ketua setiausaha kementerian, pegawai kanan kerajaan dan para pegawai tadbir dan diplomatik (PTD).

Perdana Menteri yang memakai baju Melayu berwarna merah jambu, meluangkan masa hampir sejam menikmati jamuan, beramah mesra dan bersalaman dengan para tetamu sebelum meninggalkan majlis pada kira-kira pukul 10 malam.

Majlis yang dihadiri kira-kira 2,500 tetamu menghidangkan juadah seperti sate, kambing panggang, mi kari, nasi beriani, ketupat dan kuih-muih tradisi selain dimeriahkan dengan persembahan tarian tradisional oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan.

Majlis turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian warga kerja Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor.

Najib turut memotong pulut kuning sebagai simbolik menyambut ulangtahun ke-65 PPTD serta menyampaikan duit raya kepada anak-anak warga PTD di majlis itu. - BERNAMA

Berita Harian X