Jumaat, 4 September 2015 | 10:07pm

Kaji pola perubahan wabak denggi - Menteri

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

PUTRAJAYA: Lebih banyak penyelidikan perlu dilakukan untuk mengkaji pola perubahan jangkitan demam denggi untuk mengurangkan kadar kematian, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata, sejak tahun lepas terdapat kes menunjukkan manifestasi klinikal denggi telah berubah daripada demam denggi berdarah kepada kegagalan organ.

"Masih terdapat empat stereotaip denggi di Malaysia, tetapi virus yang sama berkelakuan berbeza atau tubuh manusia berkelakuan berbeza. Ada pesakit yang menghadapi masalah kegagalan jantung, otak atau kerosakan hati.

"Ini adalah isu yang kita masih tidak memahami sepenuhnya. Kami telah memulakan kajian merangkumi biopsi ke atas pesakit yang dimasukkan ke ICU dan kes kematian, jadi kami berharap kami mendapat keputusan yang baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Garis Panduan Klinikal (CPG) mengenai Pengurusan Denggi bagi Orang Dewasa (Edisi ke-3) dan Seminar mengenai Maklumat Terkinil Klinikal Wabak Denggi bagi Orang Dewasa 2015 di sini hari ini.

Subramaniam berkata, CPG akan dilaksanakan di semua hospital awam dan klinik di seluruh negara dan berharap penyedia penjagaan kesihatan swasta juga akan menggunakan dokumen itu dalam kerja-kerja klinikal.

Beliau berkata, CPG baharu termasuk cadangan yang bertujuan untuk mengoptimumkan penjagaan pesakit dengan mengambil kira perubahan pembentangan klinikal denggi.

"CPG terkini meliputi perubahan dalam pengurusan bendalir dalam kejutan denggi, pengurusan komplikasi, bukan sahaja pendarahan tetapi juga pengurusan komplikasi hepatik, jantung dan saraf," katanya.

Beliau berkata, terdapat juga perkembangan terkini mengenai pengurusan denggi semasa hamil, penunjuk audit klinikal yang baharu bagi memastikan penggunaan dan pelaksanaan CPG dan carta pemantauan pesakit denggi.

Katanya, oleh kerana latihan mengenai pengurusan denggi adalah sangat penting, kementerian bercadang untuk membangunkan sebuah modul latihan dalam talian bagi doktor dan paramedik dari sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta.

Mengenai statistik terkini demam denggi, Subramaniam berkata lima negeri iaitu Selangor, Melaka, Kedah, Pulau Pinang dan Perak mencatatkan peningkatan kes demam denggi bagi tempoh 23 hingga 29 Ogos lepas.

Beliau berkata, Selangor merekodkan peningkatan sebanyak 13 kes kepada 1,159 kes; Melaka meningkat 10 kes kepada 59 kes; Kedah meningkat empat kes kepada 16 kes; Pulau Pinang juga meningkat empat kes kepada 96 kes; dan Perak meningkat dua kes kepada 137 kes.

Bagaimanapun, katanya secara keseluruhannya jumlah kes demam denggi menurun sebanyak 41 kes kepada 2,409 kes berbanding minggu sebelumnya.

Menurut beliau, jumlah kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan dari Januari hingga 29 Ogos lepas adalah sebanyak 80,654 kes, berbanding hanya 65,672 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Jumlah kematian pula meningkat kepada 219 kes, meningkat 91 kes atau 71.1 peratus berbanding tempoh sama pada 2014.

- BERNAMA

Berita Harian X