Selasa, 8 September 2015 | 12:27pm

Bungkusan kedap udara kesan kebocoran kertas soalan - KP Pendidikan

KETUA Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof (tengah) memeriksa kertas pengenalan diri para pelajar yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) ketika membuat lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Barathi. - Foto Sharul Hafiz Zam
KETUA Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof (tengah) memeriksa kertas pengenalan diri para pelajar yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) ketika membuat lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Barathi. - Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Penggunaan bungkusan kedap udara untuk kertas soalan peperiksaan adalah antara langkah baharu yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan mulai tahun ini bagi mengelak kebocoran, kata Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Seri Dr Khair Mohamed Yusof.

Beliau berkata, sekiranya terdapat gangguan pada bungkusan berkenaan, pusat kawalan di Putrajaya akan dapat mengesan lokasi dan pusat peperiksaan di mana berlakunya gangguan itu.

"Bungkusan kertas soalan ini adalah kedap udara yang kalau terbuka sedikit sahaja pun, pusat kawalan di Putrajaya akan dapat mengesan di mana berlakunya gangguan terhadap bungkusan berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau meninjau perjalanan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Bharati yang turut disertai Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datin Azuyah Hassan dan Exco Pendidikan Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Khair berkata, jika dulu prosedur membuka bungkusan kertas soalan memerlukan pelajar untuk melihatnya, namun kali ini hanya pihak guru yang diperlukan untuk memastikan pembukaan bungkusannya dilakukan dengan baik.

Beliau berkata, seramai 455,929 calon, iaitu 446,511 calon sekolah kerajaan dan 9,418 calon sekolah swasta, menduduki UPSR tahun ini yang turut melibatkan 49,655 petugas peperiksaan.

- BERNAMA

Berita Harian X