Selasa, 8 September 2015 | 12:30pm

Murid hidap kanser tulang antara calon UPSR di Kelantan

KOTA BHARU: Seorang murid yang menghidap kanser tulang punggung antara calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Kelantan.

Mohd Munir Suhaimi, 12, yang berasal dari Kampung Kubang Palas, Wakaf Baharu, Tumpat adalah antara 10 calon berkeperluan khas yang terpaksa menduduki ujian berkenaan di hospital di negeri ini pada tahun ini.

Beliau mengambil peperiksaan berkenaan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Ibunya, Nora Ismail, 43, berkata anak ketiga daripada empat beradik itu dikesan menghidap penyakit tersebut Mac lalu selepas rebah ketika bermain bola sepak di sekolahnya.

"Anak saya sangat aktif bersukan namun kini hanya terlantar di atas katil selepas disahkan menghidap kanser tulang yang menyerang punggungnya.

"Mohd Munir dimasukkan ke wad sejak Mac lepas untuk menjalani rawatan kemoterapi. Walaupun ditempatkan di hospital, dia turut mengikuti sesi pembelajaran Sekolah Dalam Wad yang disediakan oleh hospital ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di HUSM Kubang Kerian di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengarah Pendidikan Kelantan Ab Aziz Abdullah turut meluangkan masa kira-kira sejam untuk melawat dan memberi sokongan moral kepada tujuh calon berkeperluan khas yang ditempatkan di hospital berkenaan.

Nora berkata, selain dengan guru-guru di hospital berkenaan, Mohd Munir juga sempat mengulangkaji pelajaran bersama kakaknya pada waktu terluang.

"Malah, malam tadi pun dia sempat belajar bersama kakaknya. Doktor juga sangat memahami dengan tidak menjalankan rawatan kemoterapi terhadap Mohd Munir kerana dia akan lesu selepas menerima rawatan.

"Saya harap Mohd Munir dapat menjawab peperiksaan dengan baik," katanya.

Seramai 31,068 calon menduduki UPSR di 445 pusat peperiksaan di Kelantan dengan 10 daripadanya adalah berkeperluan khas yang mengambil peperiksaan di tiga buah hospital di negeri ini kerana cedera akibat kemalangan atau sakit.

- BERNAMA

Berita Harian X