Ahad, 13 September 2015 | 8:42pm

Tragedi Makkah: Seorang jemaah haji Malaysia disahkan meninggal dunia

JEMAAH haji Malaysia, Rusiah Suar (tengah), 56, dari Sungkai, Perak disahkan meninggal dunia dalam tragedi kren tumbang di Makkah, bergambar bersama anaknya, Nurhaizan Badri (kanan) dan Norbaizura Badri. - Foto Rosman Shamsudin
JEMAAH haji Malaysia, Rusiah Suar (tengah), 56, dari Sungkai, Perak disahkan meninggal dunia dalam tragedi kren tumbang di Makkah, bergambar bersama anaknya, Nurhaizan Badri (kanan) dan Norbaizura Badri. - Foto Rosman Shamsudin

[email protected]

KELANA JAYA: Jemaah haji Malaysia, Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak disahkan meninggal dunia dalam tragedi kren tumbang di Masjidilharam, kelmarin.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, pada sidang media khas mengenai tragedi runtuhan kren di Masjidil Haram, di sini, sebentar tadi.

"Pasukan perubatan Tabung Haji (TH) dibenarkan masuk ke bilik jenazah untuk proses pengecaman jenazah melalui 108 gambar pada jam 10.30 pagi waktu tempatan (3.30 petang waktu Malaysia).

"Proses pengecaman dilakukan melalui pengecaman diri, buku rekod kesihatan, pas dan gelang pengenalan diri jemaah dan ujian DNA sekiranya perlu," katanya.

Allahyarhamah antara lapan jemaah Malaysia yang hilang selepas kejadian yang mengorbankan nyawa 108 jemaah dan lebih 200 lagi cedera itu.

Tujuh lagi jemaah Malaysia yang masih hilang ialah Abdul Habib Lahman, 68, dari Sik, Kedah; Shahidan Saad, 52, dari Kodiang, Kedah; Zainun Taha, 69, dari Ampang, Selangor; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai, Kelantan; Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku, Kelantan; Siti Nuroshlizan Zolkifli, 37, dari Tanah Merah, Kelantan dan Abdul Muluk Ishak, 71, dari Pantai Remis, Perak.

Beliau berkata, lima jemaah yang cedera sudah dibenarkan pulang manakala lima lagi dilaporkan stabil dan masih mendapat rawatan di tiga hospital di Makkah.

Sementara itu, Jamil Khir meminta waris yang lain terus bersabar dan berdoa kerana TH akan berusaha untuk terus mencari mangsa di hospital berdekatan serta memastikan proses pengecaman diselesaikan secepat mungkin.

"TH akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam pada itu, Jamil Khir turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi itu.

"Saya bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kerajaan dan TH ingin mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga Allahyarhamah. "Kami semua amat berdukacita dan bersimpati dengan ahli keluarga waris, serta menasihati mereka untuk bersabar dan tabah dengan dugaan ini," katanya.

Sementara itu, TH menasihatkan kepada semua jemaah haji Malaysia di Tanah Suci untuk bertenang dan bersabar.

"Tumpukan perhatian kepada ibadat bagi menghadapi hari wuquf serta menjaga kesihatan dan keselamatan.

"TH juga ingin mengingatkan jemaah untuk memakai segala pengenalan diri yang diberi sepanjang masa. Ini adalah bagi memastikan keselamatan jemaah," katanya.

Jamil Khir berkata, beliau dan Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim akan berangkat ke Tanah Suci esok bagi melihat sendiri keadaan di sana serta membantu memastikan usaha mencari jemaah yang hilang selesai secepat mungkin.

Berita Harian X