Isnin, 14 September 2015 | 1:56pm

Jerebu: Hentikan kegiatan luar darjah jika IPU melebihi 150

Kementerian Pendidikan mengarahkan sekolah memberhentikan semua kegiatan luar bilik darjah apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan masing-masing melebihi 150.
Kementerian Pendidikan mengarahkan sekolah memberhentikan semua kegiatan luar bilik darjah apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan masing-masing melebihi 150.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan mengarahkan sekolah memberhentikan semua kegiatan luar bilik darjah apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan masing-masing melebihi 150.

Dalam satu kenyataannya menerusi laman web rasmi, Kementerian Pendidikan hari ini berkata, arahan itu berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

"Kawasan di mana bacaan IPU melebihi 200 sekolah-sekolah perlu ditutup. Pihak guru besar dan pengetua perlu memaklumkan kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri sekiranya sekolah perlu ditutup," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, kementerian memandang serius perkembangan keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini dan sentiasa memantau status terkini bacaan IPU di kawasan yang bacaannya melebihi 100.

Pihak sekolah perlu menghubungi ibu bapa murid-murid yang menghadapi masalah kesihatan semasa di sekolah akibat fenomena jerebu serta merujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah atau klinik kesihatan berdekatan.

"Semua Guru Besar dan Pengetua diingatkan supaya sentiasa memantau bacaan IPU di kawasan masing-masing melalui aplikasi telefon bimbit MyIPU atau melalui laman web Jabatan Alam Sekitar (www.doe.gov.my).

"Pihak pentadbir sekolah perlu akur kepada Surat Siaran yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia berkaitan jerebu bertarikh 7 Ogos 2013 (Rujukan: KP/KPPM/7/(18)) dan juga surat siaran berkaitan Langkah Penjagaan Kesihatan Murid Semasa Cuaca Panas ( yang telah dikeluarkan pada 26 Februari 2014 (Rujukan: KP(BPSH-SPDK)201/005/02Jld.5 (31) yang masih berkuatkuasa," kata kenyataan itu.

Berita Harian X