Isnin, 14 September 2015 | 4:17pm

Tragedi Makkah: Jenazah Rusiah dikebumikan selepas subuh - Ismee

ISMEE (dua dari kanan) berbual bersama anak Allahyarhamah Rusiah, (dari kiri) Hariyanti Ahmad Badri, Norbaizura dan Norhaizan selepas menyampaikan sumbangan rumahnya di FELDA Gunung Besout Dua, Sungkai, hari ini. Turut kelihatan Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji, Datuk Rosni Sohar (kanan). - Foto Yahya Zainuddin

SUNGKAI: Jenazah Allahyarham Rusiah Suar, 56, jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia dalam tragedi kren tumbang di Masjidilharam, Makkah, Jumaat lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara'ik Makkah selepas solat subuh di sana.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Ismee Ismail, berkata jenazah sebelum itu disembahyangkan di Masjidilharam bersama jemaah lain yang terkorban.

"Setakat ini saya mendapat maklumat baru satu jenazah membabitkan jemaah haji Malaysia yang sudah selamat dikebumikan dan saya percaya selepas ini ada lagi yang sudah ditemukan.

"Seramai lima jemaah dari Malaysia yang meninggal dunia (termasuk Rusiah) dan saya yakin Insya-Allah selepas Zuhur ini di Makkah upacara pengebumian akan dijalankan (membabitkan jemaah Malaysia yang lain).

"Kami di TH menyampaikan ucapan takziah kepada semua keluarga dan saya bersama rakan-rakan lain akan menziarahi keluarga waris mangsa lain dan kita sama-samalah berdoa kepada waris Allahyarhamah yang telah meninggalkan kita dicucuri rahmat dan dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, Insya-Allah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat waris keluarga Allahyarham Rusiah di kediamannya di Felda Gunung Besout 2 di sini, sebentar tadi.

Berita Harian X