Jumaat, 18 September 2015 | 6:42pm
PEMANDANGAN kabur yang dilihat dari perkampungan nelayan Tebingan Laut Sematan yang mengalami jerebu. - Foto BERNAMA
PEMANDANGAN kabur yang dilihat dari perkampungan nelayan Tebingan Laut Sematan yang mengalami jerebu. - Foto BERNAMA

Kualiti udara di Sarawak dijangka positif sehingga hujung minggu

KUCHING: Kualiti udara di seluruh Sarawak dijangka positif sehingga hujung minggu ini susulan hujan dan pergerakan angin yang menghala ke selatan pada masa ini, namun perubahan arah angin minggu depan masih belum dapat dipastikan kesannya.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, berkata keadaan kini bertambah baik sejak hujan malam tadi dan arah pergerakan angin ke selatan pula membawa jerebu kembali menghala ke tempat asal di sekitar Kalimantan Barat.

Katanya, keadaan yang semakin bertambah baik membolehkan operasi pembenihan awan yang dihentikan semalam, diteruskan hari ini sehingga 25 September mengikut rancangan asal.

Beliau berkata, keadaan itu dijangka akan membolehkan paras IPU di seluruh Sarawak bertambah baik mungkin untuk tempoh dua atau tiga hari lagi, namun menurutnya minggu depan arah pergerakan angin akan berubah.

"Saya tidak mahu merosakkan hujung minggu anda dengan memikirkan situasi minggu depan. Minggu depan kita akan pantau lagi dan akan maklumkan perkembangannya dari semasa ke semasa," katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Terdahulu Jabu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak mengadakan mesyuarat hampir sejam bersama-sama wakil-wakil Majlis Keselamatan Negara Sarawak dan juga lain-lain agensi yang berkaitan.

Beliau berkata, dilihat dari sudut positif, menjelang minggu hadapan titik-titik panas di Kalimantan Barat mungkin akan berkurangan, dan di samping hujan monsun, pembenihan awam yang dijalankan mungkin akan dapat mengurangkan kesan jerebu kepada Sarawak.

Sehingga pukul 5 petang ini, kecuali Limbang yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 47 (kategori udara baik), sembilan lagi kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan IPU antara 50 dan 100, iaitu kategori kualiti udara sederhana.

Semalam, sekitar pukul 10 pagi IPU di Kuching dan Samarahan mengejutkan ramai apabila masing-masing mencatatkan bacaan IPU 209 dan 207, iaitu memasuki tahap IPU lebih 200 kategori sangat tidak sihat, mengakibatkan sekolah-sekolah sekitar Kuching, Samarahan, Padawan, Lundu dan Bau ditutup, sehingga hari ini.

Jabu seterusnya menyampaikan penghargaan kepada Majlis Keselamatan Negara yang akan menghantar 200,000 topeng muka tidak lama lagi untuk diedar kepada orang ramai.

Sementara itu, Pengurus Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Mohd Nadzim Hashim, ketika dihubungi petang ini berkata jarak penglihatan yang bertambah baik hari ini membolehkan operasi di lapangan terbang berjalan lancar.

Beliau berkata, terdapat satu pembatalan penerbangan keluar dan masuk hari ini dan juga tiga kelewatan penerbangan, namun semuanya berpunca daripada masalah "operasi teknikal" biasa, yang tiada kaitan dengan jerebu.

- BERNAMA

Berita Harian X