X
Jumaat, 18 September 2015 | 8:51pm

Operasi pembenihan awan di Sarawak hasilkan hujan - Madius

 MENTERI Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Madius Tangau.. - Foto Salhani Ibrahim
MENTERI Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Madius Tangau.. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: Operasi pembenihan awan (OPA) di Sarawak hari ini berjaya menghasilkan hujan di beberapa tempat di Bahagian Sri Aman dan daerah Serian di Bahagian Samarahan, kata Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Madius Tangau.

Beliau berkata, operasi itu yang bermula pada 11.35 pagi dan berakhir pada 12.42 tengah hari, dijalankan di kawasan Santubong di Bahagian Kuching, Simunjan dan Tebekang di Bahagian Samarahan serta Batang Lupar di Bahagian Sri Aman.

"Kejayaan OPA ini diharap dapat mengurangkan tahap jerebu yang dihadapi oleh penduduk di Sarawak," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi itu akan diteruskan sehingga 25 September ini di Sarawak namun, ia bergantung kepada kesesuaian awan dan jarak penglihatan yang dibenarkan.

Sementara itu, Madius berkata OPA di Semenanjung Malaysia ditamatkan memandangkan keadaan cuaca dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang semakin baik.

Sehingga 7 malam tadi, hanya tujuh kawasan di Semenanjung menunjukkan bacaan IPU tidak sihat iaitu Bakar Arang, Sungai Petani (118) dan Langkawi di Kedah (122); Kampung Air Putih, Taiping (107) dan Seri Manjung di Perak (105); serta Perai (105), Seberang Jaya (122) dan Universiti Sains Malaysia (116) di Pulau Pinang.

Bacaan IPU di Sarawak pula menunjukkan tahap sederhana di semua kawasan di negeri itu.

- BERNAMA

Berita Harian X