Sabtu, 19 September 2015 | 1:56pm

600,000 pesakit katarak perlu pembedahan setiap tahun - pakar

KOTA BAHARU: Kira-kira 600,000 pesakit katarak di negara ini memerlukan pembedahan pada setiap tahun, menurut Pakar Perunding Kanan Oftalmologi Hospital Selayang, Selangor Dr Elias Hussein.

Beliau berkata, angka berkenaan didedahkan menerusi satu kajian yang dilakukan oleh sekumpulan pakar dalam bidang berkenaan pada tahun lalu.

"Jumlah pesakit berkenaan (katarak) dijangka meningkat 30 peratus menjelang tahun 2030 dan setakat ini, hospital kerajaan hanya mampu melakukan kira-kira 40,000 pembedahan pada setiap tahun berkaitan penyakit itu.

"Jumlah berkenaan tidak termasuk penyakit berkaitan mata yang lain seperti glaukoma dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis perasmian Simposium Oftalmologi Ke-6 bersempena Persidangan Saintifik Bersepadu Universiti Sains Malaysia (USM) - Universiti Malaya (UM) - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) - Kementerian Kesihatan Malaysia ke-5 di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Dekan Sekolah Sains Perubatan USM, Prof Dr Ahmad Sukari Halim dan turut dihadiri Ketua Jabatan Sekolah Sains Perubatan USM, Profesor Dr Liza Sharmimi Ahmad Tajudin.

Menurut Dr Elias, setakat ini Malaysia hanya mampu melahirkan antara 24 hingga 30 pakar dalam bidang Oftalmologi setahun dan ia tidak mencukupi kerana bilangan pesakit yang meningkat setiap tahun.

Sementara itu, Dr Liza Sharmimi berkata, kekurangan pakar adalah satu cabaran bagi pengamal perubatan Oftalmologi di Malaysia memandangkan negara sedang menuju ke arah negara menua.

"Malaysia sekarang mempunyai kira-kira 10 peratus jumlah warga emas berusia 60 tahun ke atas dan dijangka terus bertambah pada setiap tahun.

"Bagaimanapun, USM kini merancang untuk menambah pakar dalam bidang berkenaan dan kita akan imbangkan antara kualiti dan kuantiti pengamal perubatan yang akan dilahirkan oleh universiti ini," katanya.

Penyakit katarak adalah kekaburan kanta di dalam mata yang menjejaskan penglihatan dan sering terjadi kepada golongan berusia 50 tahun ke atas.

Pada majlis itu, Dr Elias turut dianugerahkan Anugerah Mohamed Noor Marahakim 2015 di atas pencapaiannya dalam bidang Oftalmologi sejak mula berkhidmat sebagai pegawai perubatan pada 1984 dan telah menerbitkan lebih 20 artikel dalam bidang berkenaan. - BERNAMA

Berita Harian X