Sabtu, 26 September 2015 | 6:00pm

Malaysia dijangka bebas jerebu menjelang awal bulan depan

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka bebas daripada gangguan jerebu rentas sempadan menjelang awal Oktober kerana kesan siklon Dujuan di Filipina yang menyebabkan jerebu kembali, dijangka berakhir minggu depan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Che Gayah Ismail, berkata keadaan ini boleh berlaku secara tentatif pada 28 hingga 30 September.

Dujuan yang muncul dari Filipina sejak Selasa lalu, mengakibatkan perubahan arah angin dan membawa balik jerebu ke negara ini selepas reda seketika.

"Musim intra-monsun tercetus pada pertengahan bulan ini, ketika keadaan sepatutnya bebas jerebu. Namun, kita boleh menjangkakan bebas dari jerebu tidak lama lagi," katanya kepada BERNAMA hari ini.

Che Gayah berkata, musim intra-monsun dijangka membawa hujan pada sebelah tengah hari.

Katanya, operasi pembenihan awan akan hanya dijalankan bila Indeks Pencemaran Udara (API) di sesuatu kawasan mencecah paras tidak sihat selama 72 jam (tiga hari) berturut-turut.

Beliau berkata, jabatan itu kini memantau rapat situasi di Johor.

Tiga stesen di Johor - Pasir Gudang, Larkin Lama dan Kota Tinggi yang melaporkan API tidak sihat sejak Khamis, mengalami kualiti udara bertambah baik pagi ini, dengan indeks direkodkan pada paras sederhana pada 1.00 tengah hari.

Di Kuala Lumpur, API terus berada di paras sederhana dalam masa tiga hari lalu.

Bacaan API 0 ke 50 menunjukkan kualiti udara baik; 51 ke 100, sederhana; 101 ke 200, tidak sihat; 201 ke 300, amat tidak sihat; 300 dan lebih, berbahaya.

- BERNAMA

Berita Harian X