Ahad, 27 September 2015 | 2:10pm

GPMS Kedah mahu kerajaan wujud sekolah satu aliran

ALOR SETAR: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah mahukan kerajaan mewujudkan sekolah satu aliran bagi mengukuhkan lagi perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum.

Pengerusinya, Shamsul Bahar Abd Rani, berkata perpaduan di kalangan rakyat ketika ini terutama generasi muda semakin goyah sehingga timbul pelbagai isu perkauman yang merosakkan perpaduan yang dibina kepimpinan sebelum ini.

Beliau berkata, sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji perkara itu untuk memastikan perpaduan dapat dikukuhkan pada masa depan.

Katanya, kewujudan sekolah satu aliran selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Penyata Razak 1956 yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa lain sebagai bahasa penghantar.

"Negara luar seperti Singapura telah lama melaksanakan sistem sekolah satu aliran. Hasilnya semua pelajar berbilang kaum berada dalam satu sekolah dan belajar bersama," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Shamsul berkata, walaupun sekolah satu aliran menggunakan bahasa Kebangsaan, kaum lain tidak perlu bimbang kerana bahasa mereka seperti Mandarin dan Tamil masih kekal dalam mata pelajaran dan tidak dihapuskan.

Katanya, jawatankuasa khas itu perlu dianggotai tokoh akademik dan pemimpin parti politik untuk memberikan idea bagi mencapai titik persefahaman.

Beliau berkata, parti politik juga tidak perlu mempolitikkan isu pendidikan kerana ia boleh merosakkan sistem pendidikan dan perpaduan antara kaum di negara ini.

Sementara itu, Shamsul berkata kerajaan perlu mengkaji dasar pindah kredit yang bersifat sementara kepada dasar tetap bagi membantu pelajar yang belajar di luar negara yang ingin menghabiskan pengajian mereka di negara ini.

Katanya, walaupun dasar bersifat sementara itu dibuat ekoran kejatuhan nilai ringgit, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan perlu mengkaji dasar tersebut untuk jangka panjang.

Beliau berkata, dasar itu juga dapat membantu pelajar yang menghadapi masalah akademik di luar negara untuk memilih institusi pengajian tinggi di negara ini bagi menamatkan pengajian mereka.

- BERNAMA

Berita Harian X