Ahad, 27 September 2015 | 3:42pm

Jerebu: 533 sekolah di Sarawak ditutup esok

KEADAAN jerebu di Kuching, Sarawak. - Foto BERNAMA
KEADAAN jerebu di Kuching, Sarawak. - Foto BERNAMA

KUCHING: Sejumlah 533 sekolah rendah dan menengah di tiga bahagian di Sarawak akan ditutup esok berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang semakin buruk.

Jabatan Pendidikan Sarawak dalam satu kenyataan berkata, penutupan sekolah di Bahagian Kuching, Samarahan dan Sri Aman itu akan membabitkan 113,755 murid sekolah rendah dan 86,623 pelajar sekolah menengah.

"Sejumlah 265 sekolah rendah dan menengah di empat daerah dalam Bahagian Kuching iaitu Daerah Kuching, Bau, Lundu dan Padawan akan ditutup. Penutupan ini membabitkan 129,832 orang murid.

"Sebanyak 198 sekolah rendah dan menengah di tiga daerah dalam Bahagian Samarahan iaitu Daerah Samarahan, Serian dan Simunjan membabitkan 54,976 murid akan ditutup esok," menurut kenyataan itu.

Bagi Bahagian Sri Aman, sejumlah 70 sekolah di Daerah Sri Aman dan Lubok Antu akan ditutup, penutupan membabitkan 14,359 orang pelajar.

Setakat 12 tengah hari tadi, IPU di Sri Aman mencatatkan bacaan 190, Samarahan (145) dan Kuching (137), iaitu tahap tidak sihat.

IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

-BERNAMA

Berita Harian X