Isnin, 28 September 2015 | 1:38pm

Fiesta Muslimah BH sasar 80,000 pengunjung

Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid (tengah); Timbalan Pengarang Kumpulan BH, BadrulHisham Othman (dua kanan); Pengarang Bersekutu, Berita, Rencana dan Digital BH, Ahmad Zaini Kamaruzaman (kanan) dan Pengerusi FMBH 2015, Jami'ah Sokri (kiri) beramah mesra bersama penaja pada majlis Pelancaran dan sidang media Fiesta Muslimah Berita Harian 2015 di Zebra Square, Kuala Lumpur. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid (tengah); Timbalan Pengarang Kumpulan BH, BadrulHisham Othman (dua kanan); Pengarang Bersekutu, Berita, Rencana dan Digital BH, Ahmad Zaini Kamaruzaman (kanan) dan Pengerusi FMBH 2015, Jami'ah Sokri (kiri) beramah mesra bersama penaja pada majlis Pelancaran dan sidang media Fiesta Muslimah Berita Harian 2015 di Zebra Square, Kuala Lumpur. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Fiesta Muslimah BH 2015 (FMBH 2015) menyasarkan 80,000 pengunjung memeriahkan acara kali kedua anjuran akhbar ini, yang bakal berlangsung pada 24 dan 25 Oktober depan.

Bertemakan galeri, FMBH 2015 yang bakal diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) itu mengetengahkan 100 gerai jualan produk fesyen Muslimah daripada usahawan muda tempatan.

Terbuka kepada orang ramai dan kemasukan secara percuma, FMBH 2015 mula menerima kunjungan bermula Sabtu, jam 10 pagi hingga 9 malam dan dari jam 10 pagi hingga 8 malam pada Ahad.

Timbalan Pengarang Kumpulan BH, BadrulHisham Othman, berkata penganjuran FMBH 2015 adalah tepat pada masanya seiring penerimaan ramai terhadap fesyen Muslimah, termasuk dalam kalangan wanita moden.

Selain itu, katanya, BH mampu bertahan dan kekal menjadi pilihan pembaca sekali pun berhadapan persaingan sengit media massa pada era digital masa kini.

"Laporan Pandangan Media dan Pengguna Nielson menunjukkan peningkatan pembaca BH berusia 30 tahun ke bawah daripada 328,000 tahun lalu kepada 528,000 setakat ini.

"Malah, jumlah pembaca turut meningkat kepada 1.225 juta pada Jun tahun ini berbanding 947,000 pada Julai 2014," katanya pada majlis pelancaran dan sidang media FMBH 2015 di Zebra Square, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid; Pengarang Bersekutu, Berita, Rencana dan Digital BH, Ahmad Zaini Kamaruzaman; Pengerusi FMBH 2015, Jami'ah Sokri dan rakan penaja acara berkenaan.

Sementara itu, Jami'ah berkata, FMBH 2015 turut menjanjikan kelainan di samping menjadi landasan memartabatkan lagi perkembangan industri fesyen Muslimah.

"Acara ini menggalakkan masyarakat, terutama wanita untuk menonjolkan kelebihan diri selain mendekatkan hubungan antara ikon usahawan berjaya dan usahawan.

"Justeru, pengisian kali ini lebih padat, termasuk bazar jualan pelbagai produk fesyen Muslimah, persembahan fesyen serta topik kesihatan, tutorial pemakaian tudung dan segmen bual bicara.

"Pihak pengurusan turut penyediaan perkhidmatan bas pengantara selama dua hari khusus untuk pengunjung," katanya.

Berita Harian X