Khamis, 1 Oktober 2015 | 9:39pm

Lawatan Najib ke Milan tingkatkan hubungan Malaysia-Itali

DUTA Besar Malaysia ke Itali, Datuk Abdul Samad Othman pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Milan mengenai lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Milan, Itali. - Foto BERNAMA
DUTA Besar Malaysia ke Itali, Datuk Abdul Samad Othman pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Milan mengenai lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Milan, Itali. - Foto BERNAMA

MILAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan lawatan kerja tiga hari ke bandar raya ini bermula Jumaat, dalam usaha meningkatkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Itali.

Duta Malaysia ke Itali, Datuk Abdul Samad Othman berkata, pada masa ini, hubungan antara kedua-dua negara adalah amat dinamik dan aktif, dan dijangka terus erat pada masa depan.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dijangka tiba di Milan pada pagi Jumaat, katanya kepada wartawan Malaysia di sini, pada Khamis.

Beliau berkata Najib turut diiringi Menteri Perdagangan dan Industri Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

Semasa di sini, Perdana Menteri dijadualkan menghadiri majlis resepsi Hari Malaysia di Expo Milano 2015 anjuran penganjur ekspo itu pada pagi Sabtu sebelum melancarkan Festival Makanan Malaysia di Pavilion Malaysia pada malamnya.

Abdul Samad berkata, Perdana Menteri Itali Matteo Renzi telah menghantar undangan rasmi kepada Najib pada tahun lepas untuk menghadiri ekspo terbesar dunia itu yang diadakan empat tahun sekali.

"Malaysia ialah antara 147 negara yang menyertai Expo Milano 2015, yang dibuka sejak Mei dan berakhir pada 30 Okt ini, dan ia antara enam negara yang menerima jumlah pelawat tertinggi dengan 2.3 juta orang setakat ini," katanya.

Beliau berkata jumlah itu melebihi sasaran 1.8 juta pelawat, dan berikutan sambutan amat menggalakkan itu, kerajaan menjangka 2.5 juta pelawat akan mengunjungi Pavillion Malaysia pada akhir Oktober ini.

Menurutnya penglibatan Malaysia pada ekspo itu bukan sahaja menggalakkan hubungan rakyat dengan rakyat malah menerima maklum balas menggalakan daripada pelabur dan peniaga Itali.

"Ada yang dalam misi mencari fakta dan melihat peluang yang boleh mereka terokai...ada yang telah pun membuat tindakan susulan daripada misi mereka itu," katanya.

Abdul Samad berkata, Najib yang juga Menteri Kewangan akan mengadakan pertemuan meja bulat dengan para pemimpin industri Itali pada tengah hari Sabtu di sebuah hotel di sini, untuk bertukar maklumat mengenai perdagangan dan pelaburan dalam usaha meningkatkan lagi hubungan dua hala dalam bidang itu.

"Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Itali pada tahun lepas mencatatkan hampir RM9 bilion yang meliputi sektor keselamatan, perdagangan am, kimia, jentera, elektronik dan elektrikal serta bahan logam," katanya.

Menurutnya Malaysia banyak mengimport barangan bernilai tinggi daripada Itali termasuk helikopter dan peralatan ketenteraan.

Rosmah pula dijadual merasmikan satu pertunjukan fesyen yang disertai 18 pereka fesyen Malaysia pada ekspo itu petang Sabtu, katanya.

Perdana menteri dan isteri akan berlepas pulang pada Ahad ini. - BERNAMA

Berita Harian X