Ahad, 11 Oktober 2015 | 6:40pm

UTM bangunkan loji jana kuasa biogas

JOHOR BAHARU: Sebuah loji jana kuasa biogas bagi penghasilan elektrik daripada sisa buangan makanan bakal dibangunkan, selaras dengan usaha mengurangkan pelepasan karbon di negeri ini.

Projek itu akan dibangunkan bersama oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ronser Bio-Tech Bhd, Gait Rungkai Sdn Bhd dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

UTM menerusi satu kenyataan bersama berkata, projek itu bertujuan mengurus sisa buangan terutamanya menggunakan sisa makanan sekali gus menjadikannya sumber tenaga yang diperbaharui.

Tenaga elektrik yang dijana kemudiannya akan digunakan di universiti berkenaan sekali gus dapat mengurangkan pelepasan karbon dan mengurangkan penggunaan elektrik daripada bahan bakar fosil.

"Loji jana kuasa biogas yang bakal dibina di UTM dijangka dapat merawat kira-kira lima tan sisa-sisa makanan sehari dan dapat menghasilkan kuasa elektrik sebanyak 0.2 hingga 0.5 megawatt," kata universiti itu.

Selain itu, ia dapat mengurangkan kos penghantaran sisa makanan ke pusat pelupusan sampah hampir RM500,000 setahun yang melibatkan kira-kira 1,300 tan sisa makanan.

Selain itu, kerjasama semua pihak itu diharapkan dapat merealisasikan pemindahan pengetahuan dan kepakaran serta menggalakkan aktiviti penyelidikan yang bertujuan untuk menangani isu pengurusan sisa pepejal.

Terdahulu, UTM menandatangani memorandum persefahaman selama tiga tahun bersama rakan industri Ronser Bio-Tech Bhd dan Gait Rungkai Sdn Bhd untuk meningkatkan pengeluaran, menaik taraf biogas dan meningkatkan penggunaan. - BERNAMA

Berita Harian X