Selasa, 13 Oktober 2015 | 9:30pm

PSKLM: Pelarasan kadar tol bukan untuk raih untung besar

KUALA LUMPUR: Pelarasan kadar tol tahun 2015 adalah bertujuan menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang selamat dan selesa kepada pengguna lebuh raya dan bukannya bagi meraih keuntungan yang besar.

Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) menyatakan pelarasan itu juga penting bagi memastikan keyakinan pelabur yang berterusan agar mereka yakin akan pulangan yang boleh diraih sebelum membiayai sesuatu projek lebuh raya.

Secara purata, 50 peratus hasil yang dikutip oleh syarikat-syarikat konsesi adalah untuk membayar balik pinjaman, manakala operasi dan penyelenggaraan (20 peratus), kos menaik taraf dan membaik pulih (15-20 peratus) dan pulangan kepada pemegang saham dan lain-lain (10 peratus).

"Adalah tidak benar untuk mendakwa bahawa pelarasan kadar tol ini adalah semata-mata bagi kami meraih keuntungan yang besar," menurut persatuan itu dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut PSKLM, cadangan pelarasan kadar tol atau pembayaran pampasan dibekukan adalah tidak realistik kerana ia akan menjejaskan keupayaan ahli-ahli PSKLM untuk menguruskan lebuh raya dengan baik.

Menurut persatuan itu, di bawah Dasar Penswastaan Lebuh Raya Bertol pada awal 1980-an, syarikat konsesi akan menanggung segala perbelanjaan untuk membina sesebuah lebuh raya dan turut diberi kebenaran mengutip tol bagi satu tempoh yang ditetapkan.

Di bawah dasar ini juga, salah satu elemen penting yang telah dimeterai dalam perjanjian adalah pelarasan kadar tol pada masa hadapan mengambil kira pelbagai perkara seperti unjuran trafik, kos pembiayaan kewangan, kadar inflasi dan kos penyelenggaran serta operasi.

"Perjanjian dengan syarikat konsesi tol perlu dihormati untuk menjaga kredibiliti semua pihak terlibat terutamanya dalam aspek keyakinan pelabur pada masa hadapan.

"Bagi pengguna lebuh raya, setiap perjanjian telah memastikan bahawa pelarasan adalah secara berperingkat dan tidak mendadak supaya tidak membebankan.

"Ada masanya, pembayaran pampasan dilakukan oleh pihak kerajaan pada waktu kadar tol tidak diselaraskan," menurut persatuan itu.

Bagi tempoh 2008-2013, kerajaan telah membayar sebanyak lebih RM1 bilion pampasan, setelah mengambil kira kepentingan rakyat pada waktu itu.

- BERNAMA

Berita Harian X