Isnin, 19 Oktober 2015 | 2:27pm

Jerebu: 17 kawasan catat IPU tidak sihat

PENGAWAL Keselamatan di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda, Shah Alam, Rona Handigo, 36, menampal notis penutupan sekolah berikutan jerebu yang semakin buruk dengan IPU pada tahap tidak sihat. - Foto Shazreen Zamzuri
PENGAWAL Keselamatan di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda, Shah Alam, Rona Handigo, 36, menampal notis penutupan sekolah berikutan jerebu yang semakin buruk dengan IPU pada tahap tidak sihat. - Foto Shazreen Zamzuri

KUALA LUMPUR: Tahap jerebu di negara ini kembali teruk dengan 17 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 1 tengah hari tadi.

Kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat itu termasuk paling tinggi di Seremban iaitu IPU 198. Selain itu, Banting (164); Batu Muda Kuala Lumpur (164); Nilai (160); Tawau (159); Bukit Rambai dan Bandaraya Melaka (158 dan 156); Putrajaya (152) dan Pelabuhan Kelang (144).

Sementara itu, sebanyak 27 kawasan mencatatkan IPU sederhana dengan kebanyakan kawasan mula merekodkan bacaan semakin meningkat.

Antaranya, Paka, Terengganu (94); Sibu (81) dan Samarahan (98); Ipoh (97); Sri Manjung (92) dan Kuching (96).

Jerebu kembali berikutan perubahan corak tiupan angin yang berpunca daripada dua ribut tropika, iaitu Koppu dan Champi yang dikesan masih aktif. Ribut itu menggerakkan angin dari arah barat daya dan membawa kembali asap jerebu dari Sumatera, Indonesia ke semenanjung Malaysia.

Ia dijangka berterusan sehingga 24 Oktober ini manakala taburan hujan dijangka berkurangan kerana kawasan serantau Malaysia akan dipengaruhi oleh tiupan angin Barat Daya dengan kelajuan sederhana disebabkan oleh kedua-dua ribut tropika itu (Koppu dan Champi).

IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

Berita Harian X