Jumaat, 23 Oktober 2015 | 10:26am

Jerebu: Kuliah dan tutorial USM diteruskan seperti biasa hari ini

TIGA pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) mengenakan topeng penutup hidung dan mulut. Sesi kuliah, tutorial dan aktiviti dalam bangunan di Universiti Sains Malaysia (USM) diteruskan seperti biasa hari ini berikutan trend penurunan IPU yang ketara di Pulau Pinang. - Foto Danial Saad
TIGA pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) mengenakan topeng penutup hidung dan mulut. Sesi kuliah, tutorial dan aktiviti dalam bangunan di Universiti Sains Malaysia (USM) diteruskan seperti biasa hari ini berikutan trend penurunan IPU yang ketara di Pulau Pinang. - Foto Danial Saad

GEORGETOWN: Sesi kuliah, tutorial dan aktiviti dalam bangunan di Universiti Sains Malaysia (USM) diteruskan seperti biasa hari ini di semua kampus USM berikutan trend penurunan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang ketara di Pulau Pinang.

Pendaftar USM, Siti Zubaidah A Hamid, berkata bagaimanapun larangan mengadakan aktiviti di luar masih berkuat kuasa.

"Kita bersyukur dengan keadaan jerebu yang lebih baik dari semalam dan minta semua aktiviti akademik di dalam bangunan termasuk kuliah dan tutorial serta makmal diteruskan, namun masih menasihati dan melarang warga kampus dari mengadakan aktiviti luar yang boleh menjejaskan kesihatan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam, USM menangguhkan semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran (kuliah dan tutorial) serta aktiviti luar berikutan keadaan jerebu yang semakin buruk dan IPU di kawasan itu mencatat bacaan sangat tidak sihat.

Hari ini, terdapat peningkatan terhadap kualiti udara di negeri itu dan menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, bacaan IPU di USM yang kini berada pada tahap tidak sihat terus menurun setakat 8 pagi ini iaitu 164.

Bacaan di Seberang Jaya pula 176 dan Perai 151.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Siti Zubaidah menasihatkan warga kampus untuk terus berhati-hati dan pihak universiti akan terus memantau secara berterusan keadaan jerebu yang masih melanda negara.

Bilik Operasi Jerebu di Pusat Sejahtera USM akan terus beroperasi dan warga kampus dinasihatkan mengikuti perkembangan semasa dari laman-laman sesawang rasmi dan laman sosial Facebook USM, katanya. - BERNAMA

Berita Harian X