Jumaat, 23 Oktober 2015 | 3:45pm

440,682 calon duduki SPM tahun ini

SEJUMLAH 440,682 calon berdaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini, yang dijadualkan pada 2 November hingga 8 Disember ini. - Foto hiasan
SEJUMLAH 440,682 calon berdaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini, yang dijadualkan pada 2 November hingga 8 Disember ini. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Sejumlah 440,682 calon berdaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini, yang dijadualkan pada 2 November hingga 8 Disember ini.

Daripada jumlah itu, 379,466 adalah calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, menurut kenyataan Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Sebanyak 29,799 calon atau 6.8 peratus pula adalah calon persendirian.

"Calon akan menduduki peperiksaan di 3,501 pusat peperiksaan yang akan dibuka di seluruh negara. Seramai 34,146 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan seperti dijadualkan," menurut kenyataan itu.

Kementerian turut mengingatkan calon merujuk kepada jadual waktu peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan itu berlangsung.

Jadual waktu peperiksaan sudah diedar ke sekolah-sekolah dan juga boleh dimuat turun daripada laman web Lembaga Peperiksaan di alamat http://www.lp.edu.my.

"Calon juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

Berita Harian X