Jumaat, 23 Oktober 2015 | 6:16pm

Bajet 2016: RM31.2b tingkat ketenteraman awam, pertahanan negara

ANGGOTA tentera Markas 2 Briged menonton siaran langsung pengumuman khas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai pembentangan Bajet 2016 di Markas 2 Briged dekat Ipoh. - Foto L.Manimaran
ANGGOTA tentera Markas 2 Briged menonton siaran langsung pengumuman khas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai pembentangan Bajet 2016 di Markas 2 Briged dekat Ipoh. - Foto L.Manimaran

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM31.2 bilion diperuntukkan bagi meningkatkan tahap keselamatan dan pertahanan negara, termasuk melengkapkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan penggunaan 'Unmanned Airborne System'.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata penggunaan teknologi terkini itu adalah bagi meningkatkan keupayaan risikan, pemantauan dan peninjauan agensi di bawah Kementerian Pertahanan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan bagi kementerian itu berjumlah RM17.3 bilion merangkumi pemerolehan enam kapal Littoral Combatant Ship, sistem persenjataan Very Short Range Air Defence, kereta berperisai dan pesawat Airbus A-400M.

"Sebanyak RM523 juta pula diperuntukkan bagi pembangunan kem tentera darat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah,"

"Selain itu bagi mengenang khidmat anggota ATM, 4,000 unit kuarters akan dibina dengan peruntukan RM160 juta, selain 2,000 unit lagi rumah mampu milik dirancang dibina bermula tahun hadapan oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera," katanya ketika membentangkan Bajet 2016 sebentar tadi.

Najib berkata, bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pula, sebanyak RM864 juta disediakan bertujuan antaranya bagi perolehan Offshore Patrol Vessel dan kapal peronda.

Katanya, bagi mempertingkatkan keselamatan dan ketenteraman awam dalam negara, sejumlah RM13.1 bilion disediakan termasuk RM155 juta bagi pembinaan dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baharu di Lawas, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah serta 10 buah IPD dan lima balai polis yang masih dalam pembinaan.

"Sukacita saya umumkan, penambahan 500 Rondaan Bermotosikal PDRM (Polis Diraja Malaysia), 500 kereta peronda dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM35 juta.

"Selain itu, tambahan 2,000 unit rumah mampu milik bagi anggota PDRM turut dirancang dibina di Rawang, Selangor dan kawasan-kawasan lain yang dikenal pasti," katanya.

Selain itu, Najib berkata sebanyak RM36 juta disediakan bagi membina pejabat dan kuarters serta menaik taraf depoh tahanan Imigresen, RM50 juta bagi meningkatkan langkah keselamatan penjara dan RM20 juta bagi Program Bandar Selamat di 60 kawasan hitam, antaranya melalui pengasingan laluan pejalan kaki dan pencahayaan di kawasan itu. -BERNAMA

Berita Harian X