Sabtu, 24 Oktober 2015 | 1:11am
KETUA Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. - Foto Asyraf Hamzah
KETUA Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. - Foto Asyraf Hamzah

Peruntukan besar tingkatkan keselamatan, ketenteraman awam - KPN

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yakin peruntukan besar untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Bajet 2016 dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempertingkatkan keselamatan dan ketenteraman awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam mengumumkan peruntukan sebanyak RM13.1 bilion kepada PDRM, Jabatan Penjara dan Jabatan Imigresen Malaysia untuk tujuan berkenaan.

Khalid berkata, peruntukan RM155 juta untuk membina dua buah ibu pejabat polis daerah (IPD) di Lawas, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah serta 10 IPD dan lima balai polis yang masih dalam pembinaan antara inisiatif terbaik memperkasa keupayaan PDRM mengurangkan kadar jenayah.

"Penambahan 500 Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan 500 kereta peronda (MPV) membolehkan PDRM mempertingkatkan rondaan keselamatan bagi tujuan mengurangkan kadar jenayah.

"Selain itu, ia juga dapat mengurangkan rasa takut masyarakat terhadap jenayah melalui 'omni presence' yang lebih menyeluruh," katanya menerusi satu kenyataan media, di sini.

Selain itu, katanya rancangan penambahan 2,000 unit rumah mampu milik di Rawang serta beberapa kawasan yang sedang dikenal pasti membuktikan kerajaan prihatin dengan kebajikan warga PDRM.

"Ini termasuklah beberapa inisiatif dan penambah baikan kadar gaji kakitangan awam, termasuklah PDRM antaranya pemberian faedah pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred dan penetapan gaji permulaan terendah sebanyak RM1,200 sebulan.

"Saya yakin dengan peruntukan yang diberi, PDRM akan dapat memantapkan lagi keupayaan dan kapasitinya untuk memberi khidmat terbaik demi kesejahteraan kehidupan rakyat," katanya.

Berita Harian X