Sabtu, 24 Oktober 2015 | 1:15pm

Neelofa rasmikan FMBH 2015

(DARI kiri) Pengurus Besar Pemasaran NSTP, Putri Shireen Syed Othman; Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid; Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali; pelakon, Neelofa serta Pengerusi FMBH 2015, Jami'ah Sokri pada perasmian Fiesta Muslimah BH di Dewan Pameran MATRADE, hari ini.‪ - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
(DARI kiri) Pengurus Besar Pemasaran NSTP, Putri Shireen Syed Othman; Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid; Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali; pelakon, Neelofa serta Pengerusi FMBH 2015, Jami'ah Sokri pada perasmian Fiesta Muslimah BH di Dewan Pameran MATRADE, hari ini.‪ - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Fiesta Muslimah BH (FMBH) 2015 di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, yang memasuki tahun kedua penganjuran oleh Berita Harian, dirasmikan oleh pelakon, pengacara dan ahli perniagaan, Neelofa tengah hari ini.

Neelofa berkata, beliau menyambut baik usaha BH menganjurkan fiesta itu yang memberi tumpuan kepada produk muslimah dan membuka ruang yang berkesan kepada usahawan untuk memperkenalkan produk mereka.

"Sejujurnya saya gembira dengan perkembangan baik ini. Jelas acara sebegini memberi pilihan dan ruang terbaik kepada pengusaha dan pengguna. Berbanding jualan di dalam talian atau laman sosial, acara sebegini juga memberi peluang untuk pengguna mendekati sesuatu jenama itu dengan lebih dekat.

"Inilah masanya untuk tengok dan merasai sendiri sesuatu produk. Malah penjual atau vendor juga boleh mendapat maklum balas secara terus daripada pelanggan. Acara sebegini menghubungkan penjual dan pengguna," katanya selepas merasmikan FMBH 2015 di sini, sebentar tadi.

Yang hadir sama dalam majlis pelancaran itu ialah, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mahfar Ali; Pengurus Besar Pemasaran NSTP, Putri Shireen Syed Othman dan Pengerusi FMBH, Jamiah Shukri.

Sementara itu, penyanyi Hafiz Hamidun yang menyertai Fiesta Muslimah BH tahun lalu juga melihat acara kebanggaan akhbar BH ini sebagai satu platform terbaik untuk vendor dan penjual mempromosikan produk muslimah mereka terutamanya.

"Tahun ini kita nampak ia lagi meriah. Fiesta Muslimah BH boleh menjadi jenama yang konsisten untuk disertai. Reputasi yang ada pada penganjur menjadi batu loncatan terbaik.

"Seperti Neelofa, saya juga gembira dan bangga menjadi sebahagian kepada acara ini. Insya-Allah saya mengharapkan acara ini akan diteruskan pada masa depan," katanya yang turut memberikan promosi hingga 70 peratus di bawah jenama Mikraj Concept miliknya.

Selain Hafiz turut sama akan menghiburkan orang ramai ialah Ayda Jebat, Adira, Najwa Latif, Caliph Buskers dan Asfan.

FMBH 2015, memasuki tahun kedua penganjurannya oleh BH, kali menyasarkan kehadiran lebih 80,000 pengunjung.

Bertemakan galeri, FMBH 2015 mengetengahkan 100 gerai jualan produk fesyen Muslimah daripada usahawan muda tempatan.

FMBH dibuka bermula jam 10 pagi hingga 9 malam hari ini dan dari jam 10 pagi hingga 8 malam, esok dan masuk adalah percuma.

Berita Harian X