X
Sabtu, 24 Oktober 2015 | 5:36pm

Lebih 9,000 penghuni penjara sertai SLDN

MELAKA: Seramai 9,643 penghuni dari 33 penjara seluruh negara menyertai program Sistem Latihan Dual Nasional (SDLN), iaitu program latihan kemahiran komprehensif kepada penghuni penjara mengikut keperluan industri pekerjaan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Kedua, Masir Kujat berkata daripada jumlah tersebut 6,163 penghuni telah memperolehi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Satu setelah menamatkan latihan selama enam bulan, manakala selebihnya sedang mengikuti latihan itu.

Beliau berkata usaha itu penting bagi melatih penghuni penjara dengan pelbagai kemahiran sebagai persiapan untuk mendapatkan pekerjaan setelah dibebaskan kelak.

"Ini adalah sebahagian usaha kerajaan dalam mengupayakan banduan dengan kemahiran agar apabila mereka keluar kelak dapat berdikari," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen SLDN Zon Selatan 2015 di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas di sini hari ini.

Beliau berkata program SDLN yang diperkenalkan pada Jun 2012 mempunyai 44 bidang kemahiran yang menepati Piawaian Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan.

Masir berkata kerajaan juga telah mengadakan program Laluan Kerjaya Penghuni dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Metro Driving Academy Sdn Bhd bagi membantu memberi jaminan pekerjaan kepada bekas penghuni penjara selepas mereka dibebaskan.

Beliau berkata pada siri pertama yang tamat pada Disember 2014, seramai 23 perantis berjaya mendapat SKM Tahap Dua dalam bidang pemanduan Profesional Kenderaan Perdagangan.

"Semua mereka ini memperoleh pekerjaan dan pendapatan antara RM1,800 hingga RM3,000 sebulan manakala pada siri kedua yang bermula Jun lepas seramai 40 perantis telah mengikuti program ini," katanya.

Beliau berkata kira-kira 90 peratus daripada penghuni penjara yang mengikuti semua latihan tersebut memperoleh pekerjaan setelah dibebaskan.

-- BERNAMA

Berita Harian X