Isnin, 26 Oktober 2015 | 8:01pm

Gaji minimum pastikan simpanan pencarum KWSP mencukupi

KUALA LUMPUR: Peningkatan gaji minimum pekerja swasta yang diumumkan dalam Bajet 2016 memberi kebaikan jangka panjang kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Jabatan Ekonomi dan Pasaran Modal KWSP, Nurhisham Hussein dalam kenyataan berkata, peningkatan gaji minimum itu dapat memastikan simpanan persaraan ahlinya yang berpendapatan rendah mencukupi.

Bajet 2016 menyatakan gaji minimum pekerja swasta di Semenanjung Malaysia dinaikkan daripada RM900 kepada RM1,000 manakala untuk Sabah, Sarawak dan Labuan, ia naik kepada RM920 daripada RM800, bagi semua sektor kecuali perkhidmatan domestik atau pembantu rumah.

Selain itu, Nurhisham berkata peluasan skop kelayakan perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menjamin perlindungan yang lebih kukuh ditawarkan kepada pekerja, yang rata-ratanya juga adalah pencarum KWSP.

Melalui Bajet 2016 juga, peluasan skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM4,000 dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 500,000 pekerja yang tidak diliputi sebelum ini.

Selain itu, katanya peningkatan BR1M, pelepasan cukai untuk golongan berpendapatan sederhana dan fokus kepada rumah mampu milik merupakan usaha yang diharap boleh meringankan bebanan yang ditanggung rakyat.

"KWSP menyambut baik inisiatif kerajaan memperkenal dan menyambung pelbagai usaha untuk menyokong kualiti hidup rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah dan sederhana yang dibentang dalam Bajet 2016 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X