Selasa, 27 Oktober 2015 | 6:37pm

Halim Mazmin labur RM20j tawar penerbangan sewa khas dari Langkawi

MUKHRIZ  diberi penerangan mengenai pesawat Cessna Grand Caravan Ex yang bakal beroperasi sebagai pesawat sewa khas berpangkalan di Langkawi. - Foto Hamzah Osman.
MUKHRIZ  diberi penerangan mengenai pesawat Cessna Grand Caravan Ex yang bakal beroperasi sebagai pesawat sewa khas berpangkalan di Langkawi. - Foto Hamzah Osman.

LANGKAWI: Prima Air Sdn Bhd (Prima Air) anak syarikat Kumpulan Halim Mazmin melabur RM20 juta untuk sediakan khidmat penerbangan sewa khas menggunakan pesawat Cessna Grand Caravan Ex, berpangkalan di pulau ini. 

Majlis pelancaran perkhidmatan itu disempurnakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di sini, hari ini. 

Berucap pada majlis itu, Mukhriz menyambut baik langkah Prima Air menyediakan perkhidmatan itu bagi kemudahan pelancong mewah, ahli perniagaan dan kes kecemasan. 

"Langkah ini pasti mampu memantapkan industri pelancongan tempatan apatah lagi dalam persediaan menyambut Kedah Discover 2016 awal tahun depan," katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Eksrkutif Kumpulan Halim Mazmin, Tan Sri Halim Mohammad, berkata pihaknya bersedia memulakan penerbangan sewa khas ke tujuh destinasi pilihan. 

"Destinasi pilihan kami adalah ke Alor Setar, Pulau Pinang, Ipoh, Pulau Pangkor, Hatyai, Krabi dan Phuket di Thailand berpangkalan di Langkawi. 

"Pesawat mampu membawa 11 penumpang, selain berupaya membawa kargo dan sesuai juga digunakan sebagai ambulans udara untuk kes kecemasan," katanya. 

Pesawat itu yang dibeli di Kansas, Amerika Syarikat boleh diubahsuai sebagai pesawat amfibia kerana mampu mendarat di darat dan air.

Berita Harian X