Jumaat, 30 Oktober 2015 | 9:39am

Dream Big KK Selangor

KUALA LUMPUR: Orang ramai, terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dijemput memeriahkan Program Dream Big #KolejKomunitiSelangor yang akan berlangsung pada 31 Oktober hingga 1 November ini di Pusat Pemborong GM Klang, Klang.

Program dua hari itu dianjurkan oleh Kolej Komuniti Selangor yang meliputi sembilan kolej di seluruh negeri itu, iaitu Kolej Komuniti (KK) Kuala Langat, KK Sabak Bernam, KK Tanjong Karang, KK Hulu Selangor, KK Selayang, KK Klang, KK Hulu Langat, KK Shah Alam dan KK Ampang.

Pengerusi program yang juga Pengarah KK Kuala Langat, Zainah Rujihan, berkata inisiatif itu bertujuan mempromosikan peluang pengajian ditawarkan kesemua kolej terbabit.

Program sepenuh masa

Beliau berkata, pengunjung antara lain boleh mendapatkan maklumat mengenai penawaran program sepenuh masa dalam pelbagai bidang pada peringkat sijil dan diploma.

"Program sepenuh masa itu merangkumi sebanyak 15 pada peringkat sijil dan empat lagi diploma.

"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat melalui sembilan kaunter interaktif, selain dua kaunter kursus pendek yang bertujuan memberi peluang untuk masyarakat mengikuti latihan ditawarkan oleh KK di Selangor," katanya.

Pelbagai aktiviti menarik

Selain itu, Zainah berkata, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan, termasuk persembahan 'Stompers' yang menjadi kebanggaan warga KK.

"Orang ramai akan dihiburkan dengan persembahan bertenaga 'Stompers' yang memang sentiasa menarik perhatian penonton. Mereka akan mengadakan tiga sesi persembahan pada hari pertama program berlangsung.

"Bukan itu sahaja, pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah menarik disediakan melalui cabutan bertuah yang diadakan sebanyak dua sesi pada Sabtu dan Ahad," katanya.

Berita Harian X