Sabtu, 31 Oktober 2015 | 4:11pm

Dana RM100 juta bantu perluas potensi usahawan digital

MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak

KOTA BELUD: Kerajaan memperuntukkan dana berjumlah RM100 juta bagi membantu memperluas peluang dan potensi usahawan yang menjalankan perniagaan menerusi internet.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata inisiatif menerusi program dikenali sebagai e-Rezeki dan e-Usahawan itu akan dikendalikan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

Katanya, dana diperoleh daripada agensi dan anak syarikat kementerian itu juga berperanan dalam membuka peluang golongan belia menganggur mewujudkan pekerjaan mereka sendiri menerusi internet.

"Jika kita ada kemahiran, kita gunakan kemudahan yang ada untuk memperluas potensi kerana ada perniagaan yang boleh dilakukan dari rumah saja. Ini adalah kaedah baharu bagi menjana pendapatan dan ekonomi menerusi digital.

"Kita gunakan internet untuk meningkatkan pendapatan dan bukan digunakan untuk viralkan sesuatu yang belum tentu kesahihannya," katanya ketika berucap merasmikan Program Langkah Bersama Sehati Sejiwa anjuran Jabatan Penerangan Sabah di sini, hari ini.

Salleh berkata, kaedah memasarkan perniagaan menerusi digital itu akan diperluas ke pelbagai bidang termasuk kepada mereka yang berkecimpung dalam perikanan dan pertanian seperti mana dilakukan di Korea dan China.

Dalam perkembangan berkaitan, Salleh berkata kerajaan begitu komited dalam memperkasa pembangunan prasarana internet menerusi peruntukan berjumlah RM1.2 bilion pada Bajet 2016.

Beliau berkata tiga aspek akan diberi keutamaan iaitu memastikan liputan menyeluruh, kos berpatutan dan kelajuan tanpa gangguan supaya sasaran 95 peratus rakyat Malaysia menikmati akses internet pada 2020 tercapai.

"Bukan sahaja di bandar tetapi rakyat luar bandar juga mendapat akses internet. Saya juga menggalakkan semua syarikat telekomunikasi memberi tawaran murah untuk kemudahan jalur lebar kepada pengguna," katanya.

Mengenai Program Langkah Bersama Sehati Sejiwa, Salleh berkata ia adalah langkah tepat dalam memberi penerangan dan kefahaman tentang dasar kerajaan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Pada majlis sama, Salleh menyampaikan watikah pelantikan kepada ketua program Komuniti 1Malaysia bagi empat kampung di Kota Belud dan sebuah kampung di Kota Marudu.

-- BERNAMA

Berita Harian X