Jumaat, 27 November 2015 | 5:29pm

Jadikan kata-kata kenegaraan pemimpin lalu sebagai panduan - Sultan Perak

SULTAN Perak Sultan Dr Nazrin Shah bertitah pada Istiadat Penganugerahan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri sempena Hari Keputeraan ke-59 Sultan Perak di Balairong Seri Istana Iskandariah hari ini. - Foto BERNAMA
SULTAN Perak Sultan Dr Nazrin Shah bertitah pada Istiadat Penganugerahan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri sempena Hari Keputeraan ke-59 Sultan Perak di Balairong Seri Istana Iskandariah hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA KANGSAR: Kata-kata kenegaraan pemimpin silam serta prinsip bina negara yang diasaskan pemimpin terdahulu hendaklah senantiasa dijadikan rujukan, panduan dan pedoman, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, bangsa yang berjaya membina tamadun agung adalah bangsa yang memberi pengiktirafan kepada tokoh-tokoh silam dan yang telah merintis perjuangan serta mengasaskan gagasan negara bangsa.

"Rasulullah SAW sendiri telah menunjukkan contoh teladan. Berpandukan kisah yang terkandung dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Baginda menunjukkan sifat menghormati rasul terdahulu; menghargai pandangan mereka ketika baginda menerima perintah menunaikan solat daripada Allah.

"Atas sifat menghargai pandangan para rasul terdahulu, baginda telah berulang-alik memohon ihsan Allah SWT untuk mengurangkan perintah solat daripada lima puluh waktu kepada lima waktu sehari semalam," titah baginda.

Sultan Nazrin Shah bertitah demikian pada istiadat penganugerahan darjah kebesaran kepada 702 penerima bersempena Hari Keputeraan ke-59 baginda di Balairong Seri Istana Iskandariah di sini, yang didahului Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sultan Nazrin Shah bertitah, sifat menghargai jasa tokoh-tokoh terdahulu hendaklah dijadikan budaya kepada warga bangsa.

"Dalam semangat mahu menghargai jasa bakti tokoh-tokoh terdahulu, Beta telah menetapkan, sempena istiadat sulung sambutan rasmi ulang tahun hari keputeraan ini, untuk mengurniakan anugerah secara anumerta kepada beberapa orang tokoh terdahulu dan kepada individu-individu yang telah mengorbankan nyawa mereka ketika melaksanakan tugas negara bangsa," titah baginda.

Baginda bertitah Malaysia mempunyai sejarah kemerdekaan yang masih baharu dan terlalu singkat yang tidak sepatutnya begitu cepat dilupakan.

Titah baginda negara terhutang budi kepada peranan Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, dan barisan yang seangkatan dengan Almarhum, antaranya Tun Abdul Razak Hussein, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tun Tan Siew Sin dan Tun VT Sambanthan.

Sultan Nazrin Shah bertitah, kerajaan hendaklah didukung oleh barisan pentadbir serta teknokrat yang turut berpegang kepada budaya kejujuran serta ketegasan untuk menyuarakan yang hak selaras dengan nasihat Tun Abdul Razak dalam ucapan yang bertemakan 'Road to nationhood' seperti berikut;

"Sebagai penjawat awam, saya berharap anda akan berpendirian teguh terhadap kami ahli politik, dan tidak membenarkan diri dikuasai oleh kami. Sebab dalam demokrasi sebenar, penjawat awam mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan. Masa depan cara hidup demokrasi negara kita bergantung kepada anda."

- BERNAMA

Berita Harian X