Jumaat, 27 November 2015 | 10:48pm

BH, Hafizah ungguli kategori media cetak Anugerah DBP

HAFIZAH Iszahanid dan Editor Sastera BH, Mohd Nazmi Yaakub bergambar bersama sijil kemenangan dan replika cek kemenangan pada Malam DBP Bersama Wartawan 2015 di Kuala Lumpur, malam ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
HAFIZAH Iszahanid dan Editor Sastera BH, Mohd Nazmi Yaakub bergambar bersama sijil kemenangan dan replika cek kemenangan pada Malam DBP Bersama Wartawan 2015 di Kuala Lumpur, malam ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: BH dan wartawannya, Hafizah Iszahanid mengungguli kategori media cetak pada Anugerah Media Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sempena Malam DBP Bersama Wartawan 2015 di sini, sebentar tadi.

BH memenangi Anugerah Media DBP (Media Cetak) dengan hadiah wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan, manakala Hafizah pula merangkul Anugerah Kewartawanan DBP (Media Cetak) yang menawarkan hadiah RM2,000 serta sijil penyertaan.

Hadiah disampaikan Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Awang Sariyan. Anugerah Media dan Kewartawanan DBP turut diberikan kepada kategori media elektronik termasuk televisyen dan radio serta media sosial.

Sementara itu, Awang berkata, sepanjang 2015 memperlihatkan hubungan sinergi antara DBP dan media sehingga pelbagai artikel mengenai produk dan perkhidmatan badan berkenaan disiarkan secara konsisten.

"Berdasarkan data dokumentasi DBP sehingga November tahun ini, sebanyak 659 artikel diterbitkan di akhbar dan 52 liputan siaran televisyen dan radio.

"DBP amat berbesar hati dengan kerjasama pihak media yang begitu hebat dan bersedia memberikan sokongan terutama mempromosikan perkhidmatan, produk serta menyebarkan maklumat mengenai isu bahasa, sastera dan persuratan Melayu," katanya.

Berita Harian X