Ahad, 1 November 2015 | 10:39am

Tandas awam bersih cegah penularan kepialu

KUALA LUMPUR: Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), mengingatkan pemilik stesen minyak mahupun pemilik kedai makanan supaya memastikan bilik air dan tandas di premis mereka bersih.

Pengarah, Dr Hayati Abdullah, berkata ini kerana bakteria Salmonella thypi (S thypi) yang menjadi penyebab utama demam kepialu atau tifoid boleh merebak melalui najis dan air kencing orang yang dijangkiti.

Dr Hayati berkata, kebersihan tandas awam juga memainkan peranan penting dalam membendung penyakit itu daripada merebak di samping suntikan vaksin dan pengendalian makanan.

Dalam keadaan tandas yang kotor, sekiranya individu yang dijangkiti penyakit itu menggunakan tandas itu dan tidak dibersihkan, bakteria wabak itu boleh hidup di kawasan tandas terbabit dan menjangkiti individu lain yang menggunakannya.

Bakteria itu tersebar melalui sentuhan terus dengan najis dan air kencing orang yang dijangkiti dan ia akan mencemari makanan dan minuman individu terbabit.

"Malah, jika tandas itu berada dalam keadaan kotor sudah pasti akan menarik perhatian lalat, dan lalat ini akan dijangkiti oleh wabak tersebut dan akhirnya merebak ke gerai makan berdekatan," katanya.

Oleh yang demikian, pihak DBKL kini meningkatkan operasi pemeriksaan kebersihan di premis makanan dan tandas di stesen-stesen minyak di ibu kota.

Operasi itu diketuai Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur Datuk P Gunaseelan.

Mengikut Gunaseelan, sejak 21 Oktober hingga hari ini, 175 premis makanan ditutup sementara kerana didapati tidak mematuhi peraturan kebersihan yang ditetapkan manakala 353 pekerjanya tidak mengambil suntikan vaksin.

Katanya, dalam tempoh itu, pihaknya memeriksa lebih 500 premis dan 1,506 pengendali makanan.

Gunaseelan, berkata pihaknya mengambil tindakan tegas terhadap semua pengusaha premis makanan bagi memastikan penyakit itu dapat disekat sebelum merebak. Beliau juga menasihati para peniaga agar meningkatkan tahap kebersihan premis makanan selain memastikan semua pengendali makanan mempunyai sijil pengendali makanan dan mendapat suntikan antitifoid.

Setakat semalam, 38 kes demam kepialu dicatatkan di ibu negara.

Mengikut laman sesawang Kementerian Kesihatan, seseorang pesakit yang dijangkiti demam kepialu boleh mengalami pendarahan dalaman dan masalah usus yang boleh membawa maut. - BERNAMA

Berita Harian X