Isnin, 2 November 2015 | 3:18pm
PRASARANA turut memperkenalkan mod pembayaran bukan tunai bagi menggalakkan orang ramai berjimat menerusi struktur tambang baharu.
PRASARANA turut memperkenalkan mod pembayaran bukan tunai bagi menggalakkan orang ramai berjimat menerusi struktur tambang baharu.

Tambang LRT, monorel diselaras

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) hari ini mengumumkan struktur tambang baharu yang diselaraskan untuk perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang dan Monorel KL, berkuat kuasa 2 Disember ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Azmi Abdul Aziz, berkata struktur tambang yang digunakan sekarang adalah berbeza untuk ketiga-tiga perkhidmatan itu.

Beliau berkata, LRT Laluan Kelana Jaya menggunakan kadar tambang yang berbeza antara stesen di Kawasan Perdagangan (CBD] dan yang bukan di Kawasan Pusat Perdagangan (bukan CBD).

LRT Lauan Ampang pula menggunakan perkiraan berdasarkan kepada jumlah stesen yang dilalui manakala laluan Monorel pula menggunakan formula perkiraan berdasarkan kepada jarak perjalanan.

"Untuk struktur tambang yang lebih adil dan konsisten, tambang sekarang akan diselaraskan kepada perkiraan berdasarkan kepada jarak perjalanan sama seperti amalan yang digunakan oleh operator rel lain di seluruh dunia," katanya di sini, hari ini.

Serentak pengumuman itu, Prasarana turut memperkenalkan mod pembayaran bukan tunai bagi menggalakkan orang ramai berjimat menerusi struktur tambang baharu itu.

Mengikut struktur tambang baharu, penumpang akan dikenakan bayaran masuk atau 'flag fall' dengan ditambah dengan jarak perjalanan sebenar yang kemudiannya didarab dengan kadar yang berpadanan. Kadar yang digunakan akan berkurangan semakin jauh jarak perjalanan.

Bagaimanapun, Azmi berkata, penumpang menggunakan mod pembayaran bukan tunai akan menikmati diskaun untuk jarak perjalanan berbanding mereka yang membeli token untuk pembayaran tunai pada setiap perjalanan. 

Sebagai insentif tambahan, pengguna kad 'MyRapid Smart 7 Mingguan' dan 'My Rapid Smart 30 Bulanan' akan nikmati diskaun masing-masing antara 18 peratus dan 26 peratus dan antara 20 peratus hingga 35 peratus berbanding menggunakan tunai.

Beliau berkata, dengan pengenalan struktur tambang baharu itu penumpang untuk sektor tertentu akan sebenarnya membayar tambang lebih rendah atau sama berbanding sedia ada. 

"Sebagai contoh penumpang antara Chan Sow Lin dan PWTC akan hanya membayar RM2.30 secara tunai berbanding RM2.40 ketika ini. Mereka hanya akan perlu membayar RM1.90 dengan menikmati diskaun tambahan 40 sen jika menggunakan kad MyRapid Smart 30 Bulanan.

"Penumpang antara Imbi dan Datuk Keramat pula akan hanya membayar RM3.40 secara tunai berbanding kadar semasa RM4.40, dan mereka akan hanya membayar RM2.80 sekiranya menggunakan MyRapid Smart 30 Bulanan," katanya. 

Azmi berkata, kadar tambang baharu adalah lebih realistik untuk menyeragam dan menyelaraskan struktur tambang untuk perkhidmatan LRT dan monorel yang tidak pernah mengalami sebarang semakan kenaikan untuk lebih 13 tahun. 

Struktur tambang baharu itu akan berkuat kuasa 2 Disember 2015 dan penumpang boleh mula membeli kad MyRapid Smart 7 Mingguan dan MyRapid 30 Bulanan dengan premium nominal masing-masing pada RM2.50 dan RM10. 

Kad boleh dibeli di pejabat perkhidmatan pelanggan Rapid KL di stesen LRT dan monorail mulai 15 November ini atau apabila kad perjalanan Rapid KL mereka tamat tempoh. 

Warga emas, golongan kelainan upaya dan pelajar akan terus menikmati diskaun 50 peratus daripada kadar tunai dalam struktur baharu.

Berita Harian X