Ahad, 8 November 2015 | 4:04pm

4 telaga di Kelantan mengandungi bakteria penyebab kepialu

KOTA BAHARU: Siasatan pihak berkuasa kesihatan setakat ini mendapati empat telaga di Kelantan positif bakteria jenis 'Salmonella Typhi' yang boleh menyebabkan demam kepialu.

Mendedahkan demikian, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, tindakan pencegahan dan kawalan sedang dijalankan termasuk pengesanan kes.

"Pendidikan kesihatan, pengambilan sampel makanan dan air termasuk ais, pemeriksaan premis dan pengklorinan 119,000 telaga sudah dilakukan sehingga 31 Oktober lalu," katanya.

Ahmad Razin berkata, jangkitan demam kepialu itu dipercayai berpunca dari makanan dan minuman tercemar selain liputan penggunaan air terawat di Kelantan yang masih rendah.

"Bekalan air terawat masih lagi menjadi isu di Kelantan di mana liputan air terawat adalah kurang daripada 70 peratus.

"Kebanyakan penduduk yang mempunyai bekalan air terawat bagaimanapun masih lagi menggunakan bekalan air telaga," katanya

"Sebanyak 151 kes demam kepialu dilaporkan sehingga 31 Oktober lalu di seluruh Kelantan berbanding 35 kes dalam tempoh sama tahun lalu," katanya ketika berucap pada Program Gotong Royong Mega Peringkat Negeri Kelantan di Taman Transit Panji di sini, hari ini.

Program dirasmikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mengenai denggi, Ahmad Razin berkata kes penyakit itu menurun sebanyak 82 peratus kepada 2,410 kes dari Januari hingga 1 November tahun ini berbanding 13,594 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.

-- BERNAMA

Berita Harian X