X
Ahad, 8 November 2015 | 4:22pm

PPPM: Gelombang kedua dengar suara guru

KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof. - Foto Rosdan Wahid
KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof. - Foto Rosdan Wahid

PARIS: Gelombang Kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 akan memberi penekanan kepada usaha peningkatan profesionalisme guru bagi menghasilkan pendidik berkualiti.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof, berkata Gelombang Kedua PPPM yang akan bermula tahun depan adalah untuk tempoh hingga 2020.

Beliau tidak memberikan perincian program peningkatan profesionalisme guru itu yang difahamkan akan dibentangkan kepada Menteri Pendidikan dalam masa terdekat.

"Bagaimanapun, dalam konteks ini, kita perlu mendengar suara pendidik itu sendiri bagaimana mereka sendiri dapat menentukan pembangunan profesionalisme mereka," katanya di sini hari ini.

Khair berkata, menerusi Gelombang Kedua PPPM, kementerian merangka kaedah "bagaimana mahu menjadi guru Malaysia".

Katanya, dalam ucapan pernyataan dasar Menteri Pendidikan pada sesi Perbahasan Dasar Umum UNESCO, beliau menyentuh mengenai keperluan mempunyai pendidikan berkualiti.

"Ia membabitkan sistem pendidikan yang memberi akses untuk semua dan inklusif untuk semua kumpulan," katanya.

Beliau berkata perbincangan dengan Pengarah Direktorat Pendidikan dan Kemahiran Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Andreas Schleicher serta pegawai pertubuhan itu di sini memberi input berguna untuk kementerian melaksanakan usaha meningkatkan profesionalisme kerjaya guru.

Khair berkata, Kementerian Pendidikan mempunyai kerjasama dalam dua program bersama OECD, organisasi penting dalam bidang pendidikan antarabangsa, iaitu mengenai Program Antarabangsa Pentaksiran Pelajar (PISA) dan pembangunan guru.

Katanya, dalam perbincangan itu, OECD berpandangan kementerian berada pada landasan betul dalam program pembangunan guru seperti mewujudkan Piagam Guru, Piagam Pemimpin serta program latihan dalam PPPM.

Justeru, katanya penumpuan selepas ini, dengan penelitian kepada input yang diberikan OECD, akan diberikan kepada penghasilan satu rangka kerja pembangunan profesionalisme guru yang lebih komprehensif dan mantap di Malaysia.

Khair berada di sini mengiringi Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, ke Persidangan Agung ke-38, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Berita Harian X