Selasa, 10 November 2015 | 2:13pm

Tiada runtuhan baharu ke Cameron Highlands

IPOH: Tiada kejadian runtuhan tanah yang baharu berlaku di antara Batu 20 hingga Batu 23 di Jalan Pahang dari Tapah ke Cameron Highlands, kata jurutera Daerah Batang Padang Noor Azman Mastor.

Bagaimanapun, katanya, hanya satu lorong dibuka kepada kenderaan di beberapa tempat sepanjang laluan itu berikutan kerja-kerja pembersihan masih dilakukan oleh pihak konsesi penyelenggaraan jalan yang dilantik oleh kerajaan.

"Kajian cerun memang dijalankan oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur.

"Tiada runtuhan baharu dimaklumkan kepada saya setakat ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Noor Azman berkata semalam, terdapat lebih 50 lokasi runtuhan kecil dari Tapah ke Ringlet sepanjang kira-kira 46 kilometer.

"Kita tak tutup (jalan terbabit secara keseluruhan) ... hanya buka selorong di mana kerja pembersihan dilakukan," katanya.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Tapah ketika dihubungi turut memaklumkan tidak menerima laporan berhubung kejadian tanah runtuh yang baharu.

- BERNAMA

Berita Harian X