Khamis, 12 November 2015 | 9:18pm

JKM Bentong urus keperluan mangsa banjir lumpur

BENTONG:Keperluan harian dan penghantaran bekalan makanan kepada mangsa banjir lumpur di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Masjid Lentang diurus dengan baik sejak mereka dipindahkan semalam.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Benton, Rohaidah Ismail berkata, pihaknya dengan kerjasama agensi seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memastikan keperluan mangsa terlibat diutamakan.

"Kebajikan mangsa sememangnya menjadi keutamaan kami dan agensi terlibat seperti JPAM dan KKM telah banyak membantu mangsa terlibat. JKM turut menempatkan seorang kaunselor dan mengatur beberapa aktiviti bagi mengurangkan kegusaran mangsa terlibat," katanya kepada Bernama di sini.

Ketika ditanya mengenai penglibatan NGO dalam memberikan sumbangan, Rohaidah berkata, beberapa NGO turut memberikan sumbangan berupa makanan kering dan keperluan asas selain menyediakan makanan kepada mangsa.

Kejadian tanah runtuh berhampiran Lentang-Bukit Tinggi pada pukul 6.30 petang semalam menyebabkan sebahagian lebuh raya dari kedua-dua arah tidak boleh dilalui, namun tidak ada kehilangan nyawa dilaporkan.

Hanya tiga buah kenderaan persendirian dan sebuah lori angkut terkandas di kawasan itu, namun kesemua pemilik kenderaan berjaya diselamatkan.

Kejadian itu turut menjejaskan 25 penghuni Kuarters Jabatan Perhutanan Negeri Pahang yang terpaksa dipindahkan untuk sementara waktu ke Masjid Lentang apabila kediaman mereka dilimpahi banjir lumpur. - BERNAMA

Berita Harian X