X
Jumaat, 13 November 2015 | 8:39am

Kerja pembersihan perlu 2 hari lagi - ANIH

GRAFIK laluan alternatif.
GRAFIK laluan alternatif.

KUANTAN: ANIH Bhd, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, masih meneruskan kerja pembersihan tanah runtuh di Kilometer (KM) 52.4 dekat susur keluar Lentang-Bukit Tinggi.

Naib Presiden dan Ketua Jabatan Komunikasi Korporat, Fazlyaton Hussein, berkata laluan yang masih lagi ditutup meliputi seksyen dari Selesa Hillhomes (KM42) hingga Plaza Tol Bentong (KM62).

Beliau menjangkakan kerja pembersihan akan mengambil masa dua hari lagi. Bagaimanapun pihak polis akan memberi kebenaran bila lebuh raya boleh dibuka.

"Pengguna dinasihatkan mengguna jalan alternatif dan ANIH akan meneruskan aktiviti pemantauan berkala terhadap semua cerun di lebuh raya untuk memastikan keadaan cerun sentiasa berada dalam keadaan baik.

"Pada masa sama siasatan terhadap punca kejadian masih dijalankan ...selepas mengenal pasti punca sebenar, tindakan pencegahan akan diambil untuk mengelak daripada berulang semula.

"Kita turut menasihatkan orang ramai mengikuti status dan perkembangan perkara ini melalui saluran yang sah kerana kita sentiasa memaklumkan status terkini ke dalam Facebook dan Twitter serta media," katanya dalam kenyataan di sini, pagi ini.

Berita Harian X