Sabtu, 14 November 2015 | 1:11pm

Buka laluan kontra di KM52.4 KLK

[email protected]

SULTAN Pahang, Sultan Ahmad Shah diiringi Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai meninjau kawasan kejadian tanah runtuh di Kilometer 52.4 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak. - Foto Abdullah Yusof
SULTAN Pahang, Sultan Ahmad Shah diiringi Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai meninjau kawasan kejadian tanah runtuh di Kilometer 52.4 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak. - Foto Abdullah Yusof

BENTONG: Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menitahkan laluan kontra di Kilometer 52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) yang ditutup berikutan banjir lumpur sejak Rabu lalu dibuka serta-merta.

Baginda yang mengadakan lawatan ke lokasi kejadian bertitah, ia bagi membolehkan pengguna melalui jalan berkenaan bagi perjalanan antara Kuala Lumpur dan Bentong.

Ketika ini, kedua-dua laluan berkenaan ditutup bagi membolehkan kerja pembersihan dan pembaikan dilakukan pihak syarikat konsesi lebuh raya, ANIH Bhd.

Titah baginda, laluan lebuh raya arah Bentong perlu dibuka secepat mungkin demi kepentingan rakyat.

"Saya minta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) buka jalan ini secepat mungkin.

"Satu lorong ke Kuantan dan satu lorong lagi ke Kuala Lumpur. Laluan bertentangan (kawasan kejadian) yang masih ditutup mungkin boleh dibuka esok," titah baginda.

Sebelum itu, baginda yang tiba pada jam 10 pagi diberi taklimat lebih sejam oleh Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir Ibrahim Md Salleh berhubung kejadian serta perkembangan operasi yang dijalankan sejak hari kejadian.

Baginda turut meluangkan masa hampir setengah jam bertemu dan bertanya keadaan mangsa banjir yang ditempatkan sementara di Masjid Lentang.

Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 14 keluarga yang terbabit dengan kejadian itu sebelum berangkat pulang pada jam 12.15 tengah hari.

Berita Harian X