Selasa, 17 November 2015 | 7:14pm
KHAIRIL (tengah) bergambar bersama murid selepas merasmikan Program MyTID di SJK (C) Shang Wu di Pulau Pinang, hari ini. - Foto Amir Irsyad Omar
KHAIRIL (tengah) bergambar bersama murid selepas merasmikan Program MyTID di SJK (C) Shang Wu di Pulau Pinang, hari ini. - Foto Amir Irsyad Omar

2 kementerian bekerjasama cari atlet muda

GEORGETOWN: Kementerian Pendidikan akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi mengenal pasti atlet muda, membabitkan murid Tahun Satu di seluruh negara menerusi Program Pembangunan Bakat Sukan Akar Umbi Kebangsaan (MyTID).

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Khairil Awang berkata melalui kerjasama itu, pemilihan murid untuk MyTID akan dilakukan secara bersama oleh Jabatan Pendidikan negeri, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara serta persatuan sukan kebangsaan.

"Melalui kerjasama ini, kita akan dapat mengenal pasti bakat baru dalam bidang sukan dalam kalangan murid sekolah di peringkat akar umbi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program MyTID di SJK (C) Shang Wu di sini hari ini.

Khairil berkata jaringan kerjasama antara dua kementerian itu adalah daripada pelan rakan strategik Kementerian Pendidikan untuk membantu dan menyokong program pembangunan sukan negara.

Program MyTID yang dilaksanakan pada 29 September lalu, membabitkan 100,000 murid Tahun Satu di seluruh negara yang dinilai dan dipilih melalui kajian rintis di Sekolah Kebangsaan serta Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina dan Tamil).

Murid dipilih perlu menjalani beberapa saringan dari segi antropometrik (pengukuran ketinggian dan berat badan), kelenturan, kelajuan lari pecut 20m, kuasa lompat jauh berdiri dan koordinasi baling dan tangkap.

Program MyTID adalah hasil keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan pada 4 September 2014, dan adalah agenda negara dalam mentransformasi Malaysia sebagai sebuah negara sukan.

-- BERNAMA

Berita Harian X