Khamis, 19 November 2015 | 11:27am

Tiada SOP di Indonesia punca jerebu

gn4id:10635736

PEKANBARU (RIAU): Kelemahan kerajaan Indonesia yang tidak mempunyai sebarang prosedur operasi standard (SOP) untuk menangani insiden pembakaran hutan adalah antara punca berlakunya jerebu setiap tahun, kata ahli-ahli akademik Malaysia dan Indonesia.

Dalam satu rundingan meja bulat oleh 24 ahli akademik itu, mereka turut merumuskan bahawa kerajaan Indonesia seolah-olah tidak mempunyai persediaan bagi menghadapi fenomena El Nino sehingga berlakunya kebakaran hutan yang mengakibatkan jerebu.

"Malah, negara penyebab jerebu itu belum mempunyai kesedaran dan kepatuhan terhadap konvensyen antarabangsa berkaitan isu alam sekitar yang telah digubal oleh badan-badan antarabangsa selain belum bersedia secukupnya bagi menghadapi fenomena El-Nino," kata jurucakap rundingan meja bulat itu Prof Dr Kamaruddin M Said di sini semalam.

Katanya, kajian juga mendapati kebanyakan kes kebakaran hutan dilakukan oleh syarikat perladangan sebagai kaedah meluaskan kawasan tanaman pada setiap tahun.

Sehubungan itu, rundingan meja bulat anjuran bersama Majlis Profesor Negara Malaysia (MPN) dan Universiti Islam Riau (UIR) itu sebulat suara meluluskan resolusi supaya kerajaan Indonesia mengadakan audit kepatuhan terhadap pekebun dan syarikat perladangan dalam kerja pembukaan tanah pertanian, kebakaran dan pengurusan tanah gambut.

Sementara itu, Rektor UIR, Prof Dr H Detri Karya ketika membentangkan resolusi rundingan itu berkata, audit kepatuhan sangat penting kerana kebanyakan pekebun melakukan pembakaran hutan untuk membuka ladang walaupun wujud larangan berbuat demikian.

Katanya, dalam usaha menangani jerebu, kerajaan Indonesia perlu mengutamakan aktiviti pencegahan kebakaran hutan dan tanah gambut seperti sistem amaran awal dan sistem pengesanan awal.

Resolusi itu juga menyebut kerajaan perlu menyediakan dana untuk aktiviti pengurusan, pencegahan, penanganan, pengawalan dan pemulihan alam sekitar.

Rundingan meja bulat oleh 24 ahli akademik dalam pelbagai bidang dari universiti-universiti terkemuka di Malaysia dan Indonesia itu berbincang mengenai sebab, akibat dan penyelesaian masalah jerebu.

Punca kejadian jerebu itu dibincangkan dari pelbagai perspektif termasuk ekonomi, politik, pentadbiran dan birokrasi, undang-undang dan pendidikan.

Resolusi rundingan itu kemudiannya diserahkan oleh Pengerusi MPN, Tan Sri Zakri Abdul Hamid kepada Gabenor Riau, A Arsyadjuliandi Rachman untuk tindakan lanjut kerajaan Indonesia.

Jerebu akibat kebakaran hutan di Indonesia dalam tempoh empat bulan sejak Julai lepas adalah yang terburuk sehingga terdapat di wilayah di Indonesia terpaksa mengisytiharkan darurat jerebu apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 2,000.

Jerebu yang merebak sehingga ke Malaysia menyebabkan kerajaan terpaksa menutup sekolah di beberapa buah negeri ekoran bacaan IPU di tahap berbahaya.

-- BERNAMA

Berita Harian X