Rabu, 2 Disember 2015 | 9:49am

Jangan cemar imej Malaysia di luar negara - Zahid

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis (tengah) beramah mesra dengan anak pegawai Kedutaan Malaysia sempena lawatan kerja tiga hari ke Itali bermula semalam. - Foto BERNAMA
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis (tengah) beramah mesra dengan anak pegawai Kedutaan Malaysia sempena lawatan kerja tiga hari ke Itali bermula semalam. - Foto BERNAMA

ROME: Rakyat Malaysia yang menetap dan belajar di luar negara dinasihatkan tidak mencemar imej Malaysia hanya disebabkan perbezaan ideologi politik dan pandangan berlainan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata rakyat Malaysia harus mengenepikan perbezaan itu ketika berada di luar negara.

"Sebagai rakyat Malaysia, anda adalah duta kecil negara. Imej Malaysia bergantung kepada kelakuan kamu.

"Saya berharap rakyat Malaysia menjadi duta kecil untuk mempromosi negara dengan menggalakkan pelabur dan pelancong asing datang ke negara kita dengan menceritakan pelbagai kelebihan serta kekuatan kita," katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama rakyat Malaysia yang menetap dan bekerja di Itali malam tadi.

Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Hamidah Khamis; Duta Malaysia ke Itali, Datuk Abdul Samad Othman dan Prof Dr Jomo Sundram.

Ahmad Zahid juga meminta diaspora Malaysia tidak menganggap setiap yang dibaca menerusi media sosial mengenai negara dan kerajaan sebagai kebenaran mutlak, manakala yang disiarkan media konvensional sebagai propaganda.

"Kita tidak mahu negara, kerajaan, pemimpin dan organisasi kerajaan dihukum tanpa justifikasi. Jangan jatuhkan hukuman berdasarkan persepsi kerana persepsi membentuk pendapat umum," katanya.

Beliau meminta rakyat Malaysia di luar negara membuat keputusan berdasarkan realiti, keseimbangan dan secara objektif supaya penilaian dibuat tidak berat sebelah. 

Ahmad Zahid juga berkata, setiap rakyat Malaysia di mana sahaja mereka berada mesti ada semangat nasionalisme, semangat kecintaan kepada negara walaupun ada perbezaan ideologi dan pandangan antara mereka.

"Nasionalisme bukan setakat pandangan kecil , pandangan bawah tempurung atau pandangan peribadi. Ia mesti berdasarkan kecintaan kepada negara dan di mana sahaja kita berada, jiwa kita mesti di Malaysia.

"Ilmu dan kekayaan yang diperoleh dari luar negara perlu dibawa pulang untuk digunakan bagi kebaikan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya

Berita Harian X