X
Selasa, 15 Disember 2015 | 12:30pm

LPPSA kekal syarat kelayakan, kadar faedah 4 peratus

PUTRAJAYA: Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) yang akan mula mengambil alih fungsi Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP), Kementerian Kewangan bermula 1 Januari ini masih mengekalkan dasar yang sama kepada peminjam termasuk syarat kelayakan dan kadar faedah empat peratus.

Setiausaha BPP, Norsimah Abd Wahab, menegaskan walaupun lembaga itu akan melaksanakan pembiayaan sendiri daripada bank selepas ini, namun ia bukan badan yang mementingkan keuntungan kerana peminjamnya dalam kalangan penjawat awam.

Beliau yang akan bertukar jawatan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LPPSA pada 1 Januari ini, berkata melalui penubuhan lembaga itu juga, pengurusan pinjaman perumahan untuk penjawat awam akan lebih cekap dengan melaksanakan amalan terbaik oleh bank serta pertambahan kakitangan.

"Dasar kita tetap tidak berubah dan lembaga ini masih lagi dikawal selia oleh Kementerian Kewangan," katanya ketika ditemui selepas pelancaran LPPSA pada program Sehari Bersama MOF 2015 di sini, pagi ini.

Pelancaran disempurnakan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Hasimah berkata, ketika ini, lebih 1.03 juta penjawat awat membuat pinjaman dengan BPP.

Pada program itu, Husni turut melancarkan lima buku berkaitan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dihasilkan Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan.

Sebanyak 60 pempamer menyertai program berkenaan termasuk Bahagian di Perbendaharaan, agensi di bawah Kementerian Kewangan, badan berkanun, syarikat milik kerajaan dan swasta.

Berita Harian X