Jumaat, 18 Disember 2015 | 6:28pm

Tangkap khalwat berdasarkan laporan, bukan intipan

ORANG awam berdemonstrasi secara aman di Kota Bharu, baru-baru ini bagi membantah kenyataan jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin, yang mahu menubuhkan jawatankuasa perunding bagi membincangkan cadangan meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah. - BERNAMA
ORANG awam berdemonstrasi secara aman di Kota Bharu, baru-baru ini bagi membantah kenyataan jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin, yang mahu menubuhkan jawatankuasa perunding bagi membincangkan cadangan meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah. - BERNAMA

SHAH ALAM: Undang-undang yang digubal berkaitan kesalahan khalwat bukan untuk mengganggu privasi individu, sebaliknya mahu mengawal serta mencegah zina. 

Sehubungan itu, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, menyifatkan dakwaan kumpulan bekas pegawai tinggi kerajaan, kumpulan G25 bahawa undang-undang itu mengaibkan, adalah tidak benar. 

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan di sini sebentar tadi, Mohamad Adzib dan Mohd Tamyes berkata, siasatan pihak berkuasa agama dalam kes khalwat bukan berdasarkan intipan, tetapi selepas menerima aduan orang awam. 

"Siasatan mengikut prosedur termaktub dalam akta atau enakmen tatacara jenayah syariah negeri bagi memastikan aduan dan maklumat yang diterima adalah benar, sebelum pendakwaan dijalankan. 

"Jadi, tidak tepat apabila pegawai penguat kuasa agama dituduh mengintip dan menceroboh hak privasi seseorang, sedangkan tindakan mereka selaras prosedur yang termaktub dalam undang-undang, bukan membuat tuli atau tanpa usul periksa," katanya.

MAIS turut mengingatkan umat Islam bahawa sebarang kenyataan yang menghina peruntukan undang-undang boleh diambil tindakan yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Awal bulan ini, jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin, berkata kumpulan itu mahu menubuhkan jawatankuasa perunding bagi membincangkan cadangan meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah.  

Noor Farida berkata, pihaknya membantah hukuman terhadap perbuatan khalwat jika dilakukan di rumah persendirian kerana ia hak dan privasi setiap individu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Berita Harian X