X
Jumaat, 25 Disember 2015 | 3:16pm

Tak sangka ia ciuman terakhir Nur Afiqah - Nenek

KUALA NERUS: "Arwah bersalam dan mencium pipi saya sebelum bertolak ke Perak pada Ahad lalu," kata Azizah Umar, 70, dari Kampung Pak Tuyu, di sini.

Azizah adalah nenek kepada Nur Afiqah Alimi, 19, seorang daripada empat mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres serta lori papan di Batu 14, Jalan Jeli-Gerik kira-kira jam 1.30 pagi tadi.

Menurut neneknya, Nur Afiqah yang juga pelajar Politeknik Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang, bercuti bersama keluarganya di Perak sejak Ahad lalu, namun arwah pulang berasingan dengan ibunya.

"Ibunya, Zalida Adnan, 38, pulang terlebih dahulu bersama seorang adik Afiqah dengan menaiki kereta sepupunya dari Pulau Pinang yang juga ingin pulang ke Terengganu.

"Jadi Nur Afiqah menaiki bas pada hari berlainan iaitu semalam pada jam 7.30 malam bersama kakak, adik dan sepupunya," katanya.

Azizah berkata, selain Nur Afiqah, tiga lagi cucunya, Nur Ain Nabilah Alimi, 20; Nuraini Nasuha Alimi, 15, serta Mohd Zaini, 15, yang turut bersama menaiki bas berkenaan tercedera.

"Saya tidak sangka kejadian ini menimpa cucu saya. Malah, sebelum pergi saya sempat bertemu arwah dan dia sempat bersalam serta mencium saya. Tidak sangka itu ciuman terakhirnya buat saya.

"Arwah seorang yang pendiam dan anak yang taat kepada ibunya selepas pemergian ayah sejak tiga tahun lalu akibat barah hati. Malah, apa sahaja pertolongan yang diminta pasti dia akan lakukan tanpa merungut," katanya.

Menurutnya, semua keluarga sudah bertolak ke Hospital Jeli sebaik menerima berita berkenaan.

Dalam kejadian jam 1.30 tadi, bas yang membawa 30 penumpang dari Taiping, Perak menghala ke Kuala Terengganu terbabit kemalangan dengan sebuah lori muatan papan lapis dari arah bertentangan, mengakibatkan empat maut dan 26 lagi cedera.

Semua mangsa dihantar ke Hospital Jeli untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.

Berita Harian X